Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saranan ubah MediShield Hayat akan hulur 'jagaan sosial' kepada lebih banyak golongan; bantu Pemerintah jimat kos jangka panjang

Berpandangan jauh terhadap kos perubatan dan sosial serta jagaan kesihatan mendorong sebilangan pakar kesihatan untuk menyokong saranan-saranan yang diusulkan untuk memperluaskan skim insurans MediShield Hayat.

Anggaran Waktu Membaca:
Saranan ubah MediShield Hayat akan hulur 'jagaan sosial' kepada lebih banyak golongan; bantu Pemerintah jimat kos jangka panjang

(Gambar: Pexels)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 11:41AM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 11:45AM

SINGAPURA: Berpandangan jauh terhadap kos perubatan dan sosial serta jagaan kesihatan mendorong sebilangan pakar kesihatan untuk menyokong saranan-saranan yang diusulkan untuk memperluaskan skim insurans MediShield Hayat untuk merangkumi para pesakit yang mendapatkan rawatan atas percubaan meragut nyawa sendiri, mencederakan diri sendiri, menyalahgunakan dadah dan bagi rawatan masalah kaki botol.

Pakar-pakar yang ditemui Mediacorp juga berkata bahawa mereka akur bahawa bayaran premium berkaitan mungkin perlu dinaikkan disebabkan oleh kos jagaan kesihatan yang kian meningkat dan memastikan pelan insurans itu dapat terus ditampung.

Para pemain sektor insurans bagaimanapun berpendapat bahawa pihak berkuasa perlu berhati-hati jika ia mahu meneruskan rancangan tersebut kerana mereka menjangkakan kos tuntutan akan meningkat bagi polisi-polisi lain, yang sekali gus akan menjejas bayaran premium berkaitan.

Setakat ini, banyak syarikat insurans mengalami kerugian bersih sejak MediShield Hayat dilancarkan.

Pada Selasa (29 Sep), Majlis MediShield Hayat mengusulkan semakan besar-besaran terhadap skim insurans itu bagi menyediakan perlindungan yang lebih meluas dan menetapkan bayaran premium yang lebih tinggi.

Ini termasuk memperluaskan perlindungan skim itu untuk merangkumi para pesakit yang mendapatkan rawatan bagi percubaan bunuh diri, mencederakan diri sendiri dengan sengaja, ketagihan dadah dan minuman keras. Buat masa ini, golongan-golongan itu dikecualikan daripada skim tersebut.

Profesor Madya Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Jeremy Lim menganggap peluasan untuk meliputi kumpulan itu sebagai satu langkah baik yang dapat membantu pihak berkuasa untuk menjimatkan dana pada masa akan datang.

Masalah ketagihan arak, misalnya, adalah faktor risiko utama yang menyebabkan penyakit sirosis hati dan kemudian, barah.

"Membuat pelaburan dalam merawat ketagihan di peringkat lebih awal adalah satu contoh pembiayaan jagaan kesihatan dan ia mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan besar pada hari muka," kata Dr Lim.

Felow adjung kanan kajian di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Phua Kai Hong, juga bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Dr Lim.

Menurut beliau, dengan memperluaskan skim Medishield Hayat kepada golongan pesakit itu ia akan menjadikan pemerintah lebih "berhemah" - dengan menyediakan jagaan perubatan yang sesuai pada kos serendah mungkin.

Ini bermakna para pesakit mungkin dapat menjalani pemulihan di hospital-hospital masyarakat, dan bukan dirawat di sebuah hospital akut bagi masalah sosial. Ini bukan saja dapat membantu mereka mengelakkan daripada membayar yuran doktor pakar yang mahal tetapi juga menjimatkan ruang di hospital-hospital akut.

Apabila ditanya tentang bahaya moral yang mungkin berlaku, para pakar berkata mereka tidak melihat apa-apa masalah pada peluasan yang dicadangkan itu.

Pada Selasa (29 Sep), sebahagian besar komen yang dimuat naik ke laman Facebook TODAY tidak menyokong langkah untuk memberi perlindungan kepada kumpulan-kumpulan baru ini.

Sesetengah pembaca turut mempersoalkan mengapa jagaan sedemikian perlu diperluaskan untuk merangkumi penyalah guna dadah dan kaki botol dan ada juga yang melabelkan perbuatan menyebabkan kecederaan pada diri sendiri atau ketagihan "sebagai pilihan peribadi yang tidak baik".

Mengulas tentang komen-komen itu, Dr Phua berkata: "Saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang kontroversil. Jika anda renungkannya... ia adalah (sejenis) jagaan sosial."

KOS PERUBATAN KIAN MENINGKAT

Secara amnya, para pakar bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk menyemak semula kos premium Medishield Hayat.

Dr Phua berkata kos perubatan semakin meningkat di seluruh dunia dan memang sudah dijangkakan bayaran premium akan turut meningkat.

Sungguhpun demikian, Dr Lim berkata peningkatan pada bayaran premium adalah terlalu tinggi terutama sekali jika tiada subsidi pemerintah.

"Namun, tidak banyak pilihan yang ada jika ia diperlukan untuk memastikan MediShield Hayat dapat terus ditampung," katanya lagi.

Meskipun begitu, rakan penyelidik kanan dari Institut Pengajian Dasar NUS, Christopher Gee, meluahkan rasa bimbang sekiranya sebarang kenaikan pada bayaran premium akan meningkatkan lagi tekanan terhadap simpanan MediSave para pencarum, yang sekali gus akan menjejas keupayaan mereka untuk memanfaatkan CPF bagi kegunaan perubatan yang lain.

MAKLUM BALAS TERHADAP KESANNYA

Persatuan Insurans Hayat Singapura (LIA) menyatakan jika saranan-saranan itu dilaksanakan, ia boleh membawa kepada peningkatan pada kos tuntutan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP).

Ini sekali gus akan menaikkan premium IP, menurut persatuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebagai respons terhadap saranan-saranan yang diusulkan oleh majlis itu.

Kedua-dua Dr Phua dan Encik Gee berkata bahawa berdasarkan keadaan ekonomi semasa, jika premium IP dinaikkan, maka para pelanggan mungkin memutuskan untuk melepaskannya jika mereka tidak mampu untuk membuat bayaran.

Namun, Encik Gee berpendapat bahawa dengan memperbaiki perlindungan Medishield Hayat, ini bermakna rakyat Singapura akan menerima perlindungan insurans yang lebih baik hanya melalui skim asas itu jika itu saja dalam kemampuan mereka.

Pemerintah juga memberi jaminan bahawa tiada seorang pun yang akan kehilangan perlindungan Medishield Hayat, sekalipun jika mereka tidak mampu kerana mereka boleh memohon untuk mendapatkan lebih banyak bantuan kewangan. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan