Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan Deepavali: Penjualan di Little India merosot hingga 50%

Tidak seperti tahun-tahun sudah, keadaan di Little India pada hari sebelum Deepavali tidak sesibuk kali ini, malah lebih teruk berbanding tahun lalu.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak seperti tahun-tahun sudah, keadaan di Little India pada hari sebelum Deepavali tidak sesibuk kali ini, malah lebih teruk berbanding tahun lalu.

Para peniaga yang ditemui berkata perniagaan mereka merosot sehingga 50 peratus.

Selain keadaan COVID-19 kini, hujan lebat beberapa hari kebelakangan ini juga menjadi antara puncanya.

JUMLAH PENGUNJUNG KURANG 40% BERBANDING 2020

Menurut Persatuan Usahawan dan Warisan Little India, jumlah pengunjung tahun ini merosot hampir 40 peratus berbanding musim perayaan tahun lalu.

Pemilik kedai Jothi, Encik Rajakumar Chandra berkata bahawa para peniaga sepertinya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 ini.

"Berbanding tahun lalu, tahun ini lebih mencabar. Tahun lalu adalah selepas pemutus rantaian jangkitan, orang ramai lebih yakin. Jadi orang ramai tidak risau untuk membeli-belah tetapi kali ini, orang ramai takut untuk ke Little India bagi membeli-belah," menurut Encik Rajakumar.

Bagi kedai yang menjual barangan hiasan raya itu, penjualannya kali ini menjunam kepada hanya separuh hasil jualan berbanding musim Deepavali tahun lalu.

Encik Rajakumar menambah: "Orang sangat berhati-hati. Anda tidak lihat ramai orang di sini. Mereka semua di rumah dan banyak pembelian dilakukan dalam talian. Namun ada perkara-perkara tertentu seperti barangan keagamaan, membeli bunga dan yang lainnya, mereka tetap perlu datang. Mereka mahu pilih."

PENJUALAN BARANGAN MEROSOT 30-50%

Para peniaga makanan dan kuih-muih khas Deepavali juga tidak terkecuali merasa tempiasnya.

Pemilik kedai Alisa Mahal, Cik Kathija Begam menjelaskan, "Berbanding tahun lalu, tahun ini merosot sekurang-kurangnya 30 peratus. Saya rasa jumlah kes terlalu tinggi di Little India justeru keluarga-keluarga tidak datang dan beberapa hari lalu pun hujan lebat."

Bagi satu lagi kedai iaitu Bawa's Delicacy Pte Ltd yang menjual beraneka jenis muruku dan biskut pula, penjualannya tidak begitu terjejas dengan pelanggan tetapnya terus membeli barangan mereka dan ada yang menempah secara online.

Bagi para pengunjung yang ke sini hari ini (3 Nov), pandemik ini tidak mematahkan semangat mereka untuk beraya walaupun menyambutnya pada skala lebih kecil.

"Semangat perayaan masih ada. Kami masih menikmati makanan dan biskut-biskut yang lazat, kecuali aktiviti kunjung-mengunjung dikurangkan," menurut Cik Sunita Kumari, seorang pengunjung ke Little India bagi persiapan saat-saat akhir Deepavali. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan