Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan bagi Geran Projek Lentor "menggalakkan" tapi lebih ramai belia diseru tampil manfaatkannya

Cik Rahayu Mahzam, menyeru agar lebih ramai belia tampil merebut peluang untuk merealisasikan idea kreatif mereka menerusi sokongan dana MESRA.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda seorang belia yang mempunyai aspirasi untuk menganjurkan acara yang boleh dimanfaatkan masyarakat setempat, tetapi tidak pasti bagaimana untuk memulakannya, ini ada geran khusus yang boleh anda dapatkan.

Malah anda boleh menerima sehingga S$3,000 bagi setiap projek.

Geran Projek Lentor itu, yang dikendalikan oleh badan penyelaras jawatankuasa-jawatankuasa eksekutif kegiatan Melayu (MESRA) sudah hampir tujuh bulan dilancarkan.

Namun sejauh ini, baru lapan projek belia yang dijalankan di bawah geran tersebut.

LEBIH BANYAK USAHA PERLU DILAKUKAN PERKENAL GERAN PROJEK LENTOR

Semasa ditemui BERITAmediacorp di acara Festival Belia MESRA yang diadakan di Wisma Geylang Serai pagi tadi (20 Okt), anggota panel penasihat MESRA, Cik Rahayu Mahzam, menyeru agar lebih ramai belia tampil merebut peluang untuk merealisasikan idea kreatif mereka menerusi sokongan dana MESRA itu.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Beliau menyifatkan sambutan sejauh ini sebagai "menggalakkan" namun memandangkan ia masih baru, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia tentangnya.

"Saya amat menggalakkan para belia untuk mengambil peluang ini kerana kita sebenarnya memberikan kebebasan untuk mereka memilih aspek ataupun sudut di mana mereka mahu melakukan kerja-kerja kemasyarakatan atau melibatkan diri dengan masyarakat. Jadi ini juga adalah satu peluang untuk kita memanggil para belia melakukan sesuatu untuk masyarakat dengan sokongan mesra," kata Cik Rahayu yang juga AP GRC Jurong.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Geran Projek Lentor itu yang dilancarkan pada bulan Mac lalu, diwujudkan untuk memberi sokongan kepada para belia supaya dapat mendekatkan diri kepada masyarakat, mengadakan kegiatan yang bermakna dari aspek-aspek yang pelbagai termasuk seni, kesihatan, kerja-kerja kemasyarakatan dan sebagainya.

Dalam wawancara sebelum ini, Cik Rahayu berharap untuk menyokong lebih 30 projek belia di bawah Geran Projek Lentor pada tahun ini.

Meskipun belum mencapai sasaran tersebut, Cik Rahayu bersikap optimis.

Beliau berharap bahawa menerusi usaha berterusan MESRA untuk memperkenalkannya kepada lebih ramai belia, mereka akan lebih terpanggil untuk memanfaatkan tawaran geran tersebut.

"Apa yang kita mahu galakkan melalui projek ini adalah membawa mereka keluar kepada masyarakat. Mengadakan sesuatu, bekerjasama dengan mungkin kelab masyarakat, mengadakan aktiviti di kawasan luar dengan orang luar jadi mereka akan lebih terbuka kepada isu-isu semasa dan menggalakkan mereka berkolaborasi dengan agensi-agensi seperti kelab masyarakat dan sebagainya," ujar beliau.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

1,000 BELIA BAWAH SATU BUMBUNG

Festival Belia MESRA yang diadakan pagi tadi adalah yang pertama seumpamanya yang diterajui anggota jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada sekitar 150 belia.

Salah seorang anggota jawatankuasa penganjur Festival Belia MESRA, Zulayqha Zulkifli, berkata idea menganjurkan festival yang menyatukan sekitar 1,000 belia di bawah satu bumbung itu tercetus kerana mereka mahu para belia khususnya belia Melayu/Islam supaya lebih menonjol.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

"Acara ini untuk belia Melayu Singapura bergaul dan juga saling berkenalan kerana kami memahami bahawa belia-belia Melayu Singapura jarang sekali ke hadapan untuk aktiviti-aktiviti nasional yang diadakan oleh jawatankuasa yang ada di Singapura ini.

"Jadi kami juga ingin dengan cara ini kami boleh merapatkan silaturahim kami dengan belia-belia ini dan juga menolong mereka seandainya mereka perlu pelbagai pertolongan daripada pihak kami," Kata Cik Zulayqha, 24 tahun, yang juga Naib Pengerusi CC MAEC Tanjong Pagar.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Lantaran itu beliau berharap festival itu akan mendorong para belia untuk lebih melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan yang diadakan dalam masyarakat.

Pelbagai kegiatan dijalankan di bawah satu bumbung, termasuk pameran, sesi perbicangan motivasi, sukan, serta persembahan seni dan budaya.

Sekumpulan 50 sukarelawan belia juga berganding bahu menjalankan acara amal, dengan menyediakan bungkusan makanan untuk diagihkan kepada 500 penerima bantuan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan