Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan 200 Tahun S'pura "peluang" pelajari 700 tahun S'pura dengan lebih baik

Pejabat 200 Tahun Singapura (SBO) menekankan betapa sambutan 200 Tahun Singapura merupakan "peluang" bagi semua rakyat mempelajari sejarah 700 tahun Singapura dengan lebih baik lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pejabat 200 Tahun Singapura (SBO) menekankan betapa sambutan 200 Tahun Singapura merupakan "peluang" bagi semua rakyat mempelajari sejarah 700 tahun Singapura dengan lebih baik lagi.

Kekayaan sejarah Singapura, menurut SBO, meliputi juga pelbagai kisah lapisan masyarakat dan individu. Malah, penting untuk sejarah itu diberitahu kepada rakyat Singapura oleh rakyat Singapura sendiri.

Lantaran itu, SBO terus giat berusaha untuk merekrut dan melatih 3,800 sukarelawan yang akan menjadi pencatat dan pencerita cerita-cerita Singapura.

SUKARELAWAN 'TURUN PADANG'

Dalam satu bengkel yang dianjurkan SBO hari ini (21 Apr), para sukarelawan diberi peluang untuk mempelajari cara terbaik mewawancara ahli keluarga dan masyarakat umum yang mempunyai kisah peribadi menarik. Mereka juga diajar cara merakamnya bagi sumber rujukan cerita masyarakat.

130 sukarelawan daripada lima organisasi dan institusi berbeza termasuk Madrasah Aljunied dan Madrasah Al-Maarif, menghadiri bengkel itu.

Para sukarelawan juga diharapkan dapat memainkan peranan sebagai pencerita dalam pameran-pameran memperingati 200 Singapura diasaskan, pada tahun depan.

DENGAR KISAH HIDUP RAKYAT

Sesi itu turut dihadiri Pengerusi Bersama Jawatankuasa Menteri bagi 200 Tahun Singapura, Cik Josephine Teo serta Menteri Negara Kanan - iaitu Dr Koh Poh Koon dan Dr Maliki Osman - yang mengetuai usaha mendampingi sukarelawan.

"Seringkali kita lihat dari segi sejarah dan warisan apa yang ditulis oleh pakar-pakar sejarah kita, tapi kita mungkin kurang mendengar tentang kisah peribadi rakyat Singapura yang mungkin penting untuk kita ketahui. Misalnya tentang apakah sejarah-sejarah ini dan apakah pengalaman-pengalaman yang menjadi titik perbezaan sejarah kita," kata Dr Maliki.

"Kita inginkan sukarelawan yang dapat membantu kita mencungkil sejarah daripada anggota masyarakat sendiri," tambah beliau, yang merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar.

Dr Maliki juga menarik perhatian kepada sejarah masjid-masjid tempatan yang boleh dicungkil.

"Banyak masjid-masjid kita di Singapura hari ini merupakan yang telah dibina oleh peniaga-peniaga yang datang dari negara-negara lain dan mereka mewujudkan satu masyarakat yang unik yang menyumbang kepada pembangunan Singapura. Apakah sejarah masjid-masjid ini?" tanya Dr Maliki, mencabar supaya sejarah rumah-rumah ibadah Islam tempatan dirakamkan.

RELAWAN BANTU RAKAM KISAH KEHIDUPAN RAKYAT UNTUK DIKONGSI

Dr Maliki berharap dengan adanya kumpulan sukarelawan yang baru ini, lebih banyak cerita dan kisah terdahulu yang tidak pernah diketahui sebelum ini, akan dapat dirakam dan diterbitkan.

Sebagaimana Dr Maliki harapkan, sukarelawan seperti Nur Fateema Aziz dan Isnainy Elias akui tentang pentingnya mempelajari sejarah dan cara untuk mempelajarinya.

"Kami sebagai rakyat Singapura harus memahami konteks Singapura dan sejarah-sejarahnya dengan lebih mendalam dan kami boleh mempelajari daripada ahli-ahli keluarga kami dan juga rakan-rakan dan juga datuk nenek kami dan sebagainya," kata Fateema.

"Saya dapat tahu cara untuk bertanya tentang sejarah keluarga saya sendiri dan sejarah Singapura. Dengan mempelajari perkara itu, saya dapat melihat bagaimana negara Singapura itu dibentuk," kata Isnainy.

Setiap cerita yang dirakam oleh kumpulan sukarelawan ini akan dimuatnaikkan ke laman Projek Memori Singapura (Singapore Memory Project).  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan