Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Salah' untuk menyatakan POFMA meliputi satira: kata Shanmugam berhubung catatan MLC

Menggambarkan satira sebagai berita palsu adalah "salah" dan Majlis Celik Media (MLC) sudah "membuat kesilapan" dengan menyifatkannya sedemikian, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Jumaat (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
'Salah' untuk menyatakan POFMA meliputi satira: kata Shanmugam berhubung catatan MLC

Menteri K Shanmugam (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Sep 2019 11:02PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 11:07PM

SINGAPURA: Menggambarkan satira sebagai berita palsu adalah "salah" dan Majlis Celik Media (MLC) sudah "membuat kesilapan" dengan menyifatkannya sedemikian, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Jumaat (13 Sep).

Encik Shanmugam berkata demikian semasa menjawab pertanyaan para wartawan berkenaan infografik yang dimuatnaik MLC di laman Facebooknya pada 5 September.

Infografik tersebut menggambarkan berita palsu terdiri daripada pelbagai bentuk termasuk konteks palsu, kandungan menipu, kandungan yang dimanipulasi, kandungan mengelirukan, 'clickbait' dan satira.

Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) yang diluluskan awal tahun ini tidak meliputi pendapat, kritikan satira mahupun parodi.

MLC menurunkan catatan infografik itu pada 7 September dan mengeluarkan kenyataan maaf keesokan harinya di Facebook.

"Kami akur bahawa catatan dan infografik memberi tanggapan yang salah bahawa satira adalah satu jenis berita palsu, namun itu bukan niat kami. Kami memohon maaf atas kekeliruan ini dan akan menyemak bahan-bahan kami," tulis majlis tersebut di Facebook pada Ahad (8 Sep).

'SANGAT JELAS, POFMA TIDAK MERANGKUMI SATIRA'

"Tanggapan bahawa POFMA meliputi satira adalah salah," kata Encik Shanmugam. "Kita amat jelas tentang hal ini, saya juga menjelaskan dengan terang, dalam dan luar Parlimen - POFMA tidak merangkumi satira.

"Apabila terdapat sesuatu bahan, ia perlu dinilai secara objektif - adakah ia berasasan fakta, adakah ia palsu namun menyamar sebagai fakta, atau adakah ia satira, parodi, pendapat dan sebagainya."

"Hanya kenyataan palsu yang secara objektif akan dilihat sebagai kenyataan fakta, boleh ditangkap di bawah POFMA," tekan beliau.

Encik Shanmugam juga berkata MLC terdiri daripada "individu yang baik" yang "banyak mengorbankan masa" dalam membantu "pelbagai isu".

"Saya faham apa yang cuba disampaikan MLC. Namun mereka membuat kesilapan, atau ia tidak menyampaikannya dengan tepat," tambah beliau.

ISU KESESAKAN DI LUAR HAB PENGANGKUTAN BERSEPADU YISHUN

Bercakap kepada para wartawan, Encik Shanmugam juga menyentuh tentang isu kesesakan yang berlaku di luar Hab Pengangkutan Bersepadu Yishun yang baru.

Awal minggu ini, terdapat laporan berlakunya kesesakan yang melengahkan trafik selama lebih setengah jam pada waktu-waktu sibuk pagi dan petang.

"Ia berlaku apabila hab (baru) dibuka," kata Encik Shanmugam yang menambah bahawa kesesakan mula reda pada Selasa. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan