Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Salah dos vaksin COVID-19 bagi kakitangan SNEC, sijil vaksinasi akan dibincang di Parlimen

Pemberian dos vaksin COVID-19 yang salah kepada kakitangan Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) dan sijil vaksinasi adalah antara topik yang akan dibincangkan di Parlimen pada Rabu (24 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Salah dos vaksin COVID-19 bagi kakitangan SNEC, sijil vaksinasi akan dibincang di Parlimen

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Feb 2021 08:11AM Dikemas Kini : 24 Feb 2021 08:12AM

SINGAPURA: Pemberian dos vaksin COVID-19 yang salah kepada kakitangan Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) dan sijil vaksinasi adalah antara topik yang akan dibincangkan di Parlimen pada Rabu (24 Feb).

Menurut kenyataan Parlimen, perbahasan mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada minggu lalu juga akan disambung.

Para Anggota Parlimen (AP) bertanya kepada Menteri Kesihatan Gan Kim Yong mengenai anggota kakitangan SNEC yang diberikan lima dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya mengapa tiada anggota kakitangan khas untuk menangani "operasi kritikal ini" dan tiada taklimat rasmi secara bertulis sekiranya penyerahan tugas diperlukan.

Menurut SNEC, siasatan menunjukkan bahawa insiden itu disebabkan oleh "kesilapan manusia" yang berlaku akibat kelemahan pada komunikasi dalam pasukan vaksinasi yang bertugas ketika itu.

AP Gerald Giam (WP-Aljunied) bertanya bagaimana institusi kesihatan awam menguruskan beban kerja para pekerja perubatan bagi memastikan "mereka tidak dibebani dengan terlalu banyak bekerja dan terpaksa melakukan banyak tugasan secara serentak", untuk mengelakkan kesilapan manusia seperti itu.

Satu lagi pertanyaan yang ditujukan kepada Menteri Kesihatan adalah dari AP Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang), yang bertanya sama ada sijil diberikan kepada para peserta program vaksinasi COVID-19.

Beliau juga bertanya sama ada rekod vaksinasi akan dicatatkan dalam Daftar Imunisasi Negara dan boleh diakses melalui SingPass, serta sama ada data daripada daftar tersebut akan dikongsi dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara lain.

Dr Lim juga bertanya bagaimana Pemerintah akan menentukan rekod vaksinasi yang ditunjukkan oleh para pelawat asing adalah sahih.

Encik Yip pula akan bertanya kepada Menteri Kesihatan bagaimana perbezaan utama antara vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dengan Moderna mempengaruhi keputusan Pemerintah dalam pembelian dan peruntukan vaksin.

Beliau juga bertanya sama ada Pemerintah akan menimbangkan untuk memberi pilihan kepada para penduduk jika ia akan mempengaruhi keputusan mereka untuk divaksin.

KEMATIAN PELAJAR DAN ISU LAIN

AP Vikram Nair (PAP-Sembawang) akan menanyakan Menteri Pendidikan Lawrence Wong mengenai perkembangan siasatan terhadap kes kematian pelajar berusia 15 tahun Jethro Puah, yang dipercayai hilang kawalan diri ketika menyertai kursus di SAFRA Yishun.

Beliau bertanya sama ada terdapat "pengajaran yang boleh dipelajari" untuk mengurangkan risiko kemalangan serius semasa pelajar sedang mengambil bahagian dalam aktiviti berisiko tinggi.

AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast) pula akan menanyakan Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung sama ada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mempunyai rancangan untuk merombak laluan bas menyusuli pembukaan Laluan Thomson-East Coast secara berperingkat.

Soalan lain yang diajukan oleh para AP termasuk jumlah pengunjung ke taman semula jadi semasa pandemik COVID-19 dan rancangan bagi pelajar dari institusi pengajian tinggi untuk mendapatkan pendedahan global di tengah-tengah sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan sekarang.

Para AP turut menanyakan peruntukan tempat di sekolah rendah dan jumlah warga emas yang tinggal sebatang kara di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang mendapat sokongan ComCare.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan