Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saktiandi: Belanjawan 2021 tertumpu bagi sektor paling teruk terjejas

Fokus belanjawan kali ini sangat jelas dan tertumpu. Ia khusus kepada sektor-sektor tertentu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Fokus belanjawan kali ini sangat jelas dan tertumpu. Ia khusus kepada sektor-sektor tertentu.

Demikian penilaian pakar ekonomi Maybank Encik Saktiandi Supaat, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, mengenai Belanjawan 2021: Bangkit Lebih Kukuh Bersama.

Beliau menyebut Pakej Daya Tahan COVID-19 sebagai contoh yang mana peruntukan Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) berbeza-beza bagi setiap sektor.

JSS tidak akan dilanjutkan bagi segmen-segmen yang sudah bangkit semula. Sebaliknya syarikat-syarikat dalam sektor yang paling teruk terkena tempias COVID-19 akan menerima sokongan gaji buat lagi enam bulan sehingga September 2021.

Penerbangan dan pelancongan akan menjadi antara sektor utama yang menerima peruntukan terbesar lanjutan JSS yang menelan perbelanjaan sebanyak S$700 juta.

"(Kita harus ingat) bahawa sektor penerbangan adalah sektor yang penting bagi Singapura, termasuk pada masa akan datang. Jadi sebarang sokongan tambahan untuk sektor itu penting," terang Encik Saktiandi.

"Ia membantu mereka bertahan buat lagi enam hingga sembilan bulan ke depan. Pekerja boleh terus menyumbang kepakaran mereka. Jadi apabila ekonomi dan sempadan dibuka semula, semua ini akan membantu merancakkan kembali sektor tersebut."

Maka itu, tambah Encik Saktiandi, langkah untuk melabur dalam sistem ujian ketibaan dan biokeselamatan misalnya, adalah wajar kerana peruntukan sedemikian juga akan membantu Singapura mempertahankan statusnya sebagai sebuah hab udara.

"Ia memastikan kita berada pada landasan yang betul. Semuanya akan beransur pulih dan (langkah seperti) ini akan menyelamatkan pekerjaan pada jangka panjang," jelas beliau lagi.

OPTIMISTIK DEFISIT DITANGGUNG S'PURA AKAN BERKURANGAN

Encik Saktiandi juga optimis bahawa kedudukan fiskal Singapura akan lebih baik bagi tahun kewangan selanjutnya.

Semasa pembentangan Belanjawan pada Selasa (26 Feb), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata Singapura dijangka mengalami defisit yang mencecah S$64.9 bilion bagi tahun kewangan antara April 2020 hingga Mac 2021 - yang terbesar pernah dicatat sejak Singapura merdeka.

Namun, Pemerintah mengunjurkan defisit yang akan ditanggung pada tahun kewangan seterusnya akan jauh lebih rendah.

Ini, menurut Encik Saktiandi, boleh dicapai kerana beliau menjangkakan ekonomi Singapura akan kembali mantap pada akhir tahun ini.

"Ia bergantung kepada situasi COVID-19. Jika ekonomi pulih pada hujung tahun ini, dengan vaksinasi dijalankan, pendapatan Pemerintah akan naik sedikit," kata Encik Saktiandi.

Bermakna, ditambah dengan perbelanjaan lebih rendah, "defisit akan berkurangan".  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan