Images
  • lab

Saintis NTU tukar biji durian jadi penstabil makanan dan probiotik

SINGAPURA: Biji durian tidak lama lagi boleh memainkan peranan dalam penghasilan makanan.

Para saintis dari Universiti Teknologi Nanyang mendapati tuaian gam tebal dalam biji durian boleh digunakan sebagai penstabil makanan.

Gam itu juga menyokong probiotik, yang meluaskan tempoh hayat makanan dan membantu menggalak sistem penghadaman sihat.

Seorang saintis NTU berkata, enam juta durian dimakan warga Singapura pada separuh pertama 2018.

Ini bermakna kira-kira 3,600 tan biji dibuang pada tahun itu.

Penstabil ditambah pada makanan untuk membantu memelihara strukturnya dan berfungsi sebagai pemejal kepada bahan-bahan yang mudah terasing.

Selepas penyelidikan tiga tahun, para saintis dari NTU melakukan proses paten kepada teknik untuk menuai gam tebal dari biji durian, untuk menjadikannya sebagai penstabil makanan semula jadi.

Gam tersebut juga didapati menyokong probiotik, bakteria baik untuk membantu sistem penghadaman sihat.

Kajian tersebut menunjukkan ia adalah 20 peratus lebih berkesan dalam melanjutkan jangka hayat probiotik berbanding jenis biasa yang berasaskan serbuk.

Satu lagi hasil kajian adalah, kos penghasilan sebatian probiotik menggunakan gam biji durian empat setengah kali lebih murah. Selain itu, gam biji durian juga dari jenis tumbuhan berbanding gelatin yang berasal dari sumber haiwan.

NTU menambah kajian tersebut sebahagian besarnya didorong oleh cabaran perubahan iklim pada sistem penghasilan makanan akan datang serta keperluan untuk menanganinya secara mampan menerusi pengitaran semula produk-produk makanan.

Gam itu dijangka dipasarkan menjelang 2021.  

- CNA/NU/na

Top