Images
  • SAF personnel hrp
    (Gambar: Facebook/Ng Eng Hen)

SAF serahkan Program Pemulihan di Rumah kepada MOH

SINGAPURA: Para kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang ditugaskan untuk menguruskan program pemulihan di rumah (HRP) COVID-19 sudah menyerahkan tanggungjawab mereka kepada Kementerian Kesihatan (MOH), dedah Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Rabu (24 Nov).

Memandangkan program tersebut sudah stabil, maka sudah tiba "masa yang baik" untuk menyerahkannya kepada MOH, menurut Dr Ng dalam catatannya di akaun-akaun rasmi media sosial.

Pada September lalu, SAF dikerahkan untuk menyokong pelaksanaan program pemulihan di rumah kerana program yang baru diperkenalkan itu menghadapi tekanan di tengah-tengah lonjakan pada jumlah kes jangkitan.

Program Pemulihan di Rumah membolehkan sebahagian besar pesakit COVID-19 dengan gejala ringan untuk menjalani pemulihan di rumah mereka daripada ke hospital atau kemudahan khusus.

Para anggota SAF membantu mengendalikan talian hotline bagi memberi maklumat kepada para pesakit yang menjalani pemulihan di rumah, dengan lebih 450 anggota dari SAF, Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN) dan Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) turut dikerahkan.

"Para anggota NS sepenuh masa berkhidmat sebagai teman pemulihan di rumah - menyediakan kontak barisan hadapan kepada para pesakit di bawah HRP, membantu mereka dari segi prosedur pentadbiran dan memastikan wadah-wadah hubungan sentiasa terbuka bagi para pesakit," kata Dr Ng pada Rabu.

Dalam catatannya, Dr Ng turut mengucapkan terima kasih kepada para anggota tentera yang "membawa perubahan positif" terhadap usaha membantu para pesakit pulih di rumah sambil menambah ia berhasil meringankan beban pada sistem jagaan kesihatan Singapura.

"Para komander SAF dan kakitangan lain yang ditugaskan untuk menguruskan Program Pemulihan di Rumah (HRP) sejak September, menjalankan tugas mereka dengan baik," katanya.

"Mereka menyelaraskan proses, memperkenalkan huraian digital serta memastikan jagaan terbaik diberikan kepada kumpulan penduduk berbeza yang dijangkiti COVID-19."

Menurut Dr Ng, sepasukan penasihat SAF akan terus "terlibat dalam program itu bagi memastikan peralihan yang lancar".

- CNA/HA/ha

Top