Images
  • Yohanna Abdullah
    Yohanna Abdullah, pesakit mental dan juga penulis buku Patience and Gratitude. (Gambar: Petikan dari video)

Sabar & Syukur - 2 nilai yang bantu pesakit mental bangkit & sembuh

SINGAPURA: Selama 22 tahun, Cik Yohanna Abdullah, dibelenggu gangguan bipolar atau perubahan 'mood' yang begitu ekstrim. Tempoh 22 tahun itu beliau sifatkan sebagai "satu tempoh yang begitu panjang" yang memerlukan kesabaran serta rasa syukur.

Sabar dengan gejolak emosi yang tidak menentu tidak kira masanya dan sabar dengan proses untuk sembuh.

"Perjalanan saya adalah jauh sangat bermula daripada 1998. Ini merupakan sesuatu perjalanan seperti 'roller coaster'. Kadang-kadang tinggi, kadang-kadang-kadang rendah 'mood' saya.

"Bila saya kemurungan, 'mood' saya akan turun ke mungkin 1 di antara (skala) 0 dengan 10. Dan bila 'mood' saya tinggi saya naik ke 9 atau 10, di mana saya melakukan perkara-perkara yang tidak dijangkakan orang ramai, keluarga dan diri saya sendiri," kongsi Cik Yohanna.

Lantaran itu, setiap langkah yang diambil untuk bangkit, walaupun kecil, perlu disyukuri dan diraikan sebagai satu kejayaan.

"Saya telah keluar masuk hospital terlalu banyak kali dan apa yang membuat saya masih hidup hari ini adalah perasaan kesabaran saya dan kesyukuran saya di atas apa yang saya alami. Dan kesabaran itu adalah penting kerana perjalanan ini bukan pendek dan bukan mudah. Ia satu penyakit kronik," kata Cik Yohanna.


Hari ini, genap 21 bulan Cik Yohanna terus berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang episod 'mania', dedah beliau semasa sesi perbincangan panel di majlis pelancaran sebuah buku baru yang ditulisnya.

"INI BUKAN CERITA-CERITA BIASA" - YOHANNA ABDULLAH

Buku bertajuk 'Patience and Gratitude' (Kesabaran dan Kesyukuran) itu mengongsi pengalaman-pengalaman amat peribadi Cik Yohanna dan 12 pesakit lain dalam mengharungi cabaran gangguan mental dan bagaimana nilai-nilai seperti bersabar dan bersyukur berjaya membantu mereka.

"Ia bukan cerita-cerita biasa. Ia kisah istimewa yang dikongsi dari lubuk hati yang mendalam. Para pesakit ini mendedahkan rahsia mereka yang terbuku di hati dan bagaimana mereka berjaya mengharunginya dengan kesabaran dan rasa bersyukur," ujar Cik Yohanna lagi.


Buku tersebut juga menitipkan perkongsian menerusi perspektif dari asatizah, kaunselor dan penjaga pesakit mental.

"Buku ini ditulis dalam bahasa yang mudah difahami semua orang. Ia menunjukkan bahawa apabila kita mensyukuri rahmat yang diberi Tuhan, mereka (para pesakit) boleh melihat dan menghargai penyakit mereka sebagai jambatan untuk mereka ke syurga.

"Kesulitan dan kesusahan itu yang mendekatkan kita kepada makna kehidupan dan Tuhan," kata Cik Yohanna.

PRESIDEN HALIMAH PUJI USAHA KELAB HEAL

Tetamu terhormat, Presiden Halimah Yacob, memuji usaha Kelab HEAL yang sentiasa mempergiat usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat tentang isu kesihatan mental.

"Pada 2012, tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat agak rendah. Dari segi memahami isu-isunya, puncanya dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan.

"Jadi, Kelab HEAL sudah melakukan usaha yang baik dalam masyarakat dan kini mereka juga sudah memperluaskan spektrum gangguan mental," kata Presiden Halimah, merujuk kepada langkah pusat sokongan pesakit mental itu yang pada Julai lalu meluaskan skop bantuan kesihatan mental meliputi demensia.

Presiden Halimah menambah Singapura sudah melakukan pelbagai usaha dalam menangani isu-isu kesihatan mental.

Ini termasuk meningkatkan kesedaran, menghapuskan stigma dan memudahkan akses kepada bantuan.

Namun, Puan Halimah menekankan usaha itu "sesuatu yang berterusan".

"Ia bukan sesuatu yang kita boleh rasa seolah-olah ia satu pencapaian atau kita sudah mencapai matlamat kerana kita tidak akan dapat mencapainya. Ia adalah satu usaha yang berterusan di mana kita harus meningkatkan tahap kesedaran," katanya.


PENJAGA PESAKIT MENTAL, MASYARAKAT PERLU SABAR JUGA

Memberikan pandangannya tentang buku terbaru Kelab HEAL yang ditulis Cik Yohanna itu, Puan Halimah bersetuju bahawa nilai seperti bersabar dan bersyukur adalah "amat penting".

"Perjalanan mereka ini panjang. Ia bukan seperti kita sakit dan makan (ubat) panadol dan kemudian rasa sihat. Tidak. Gangguan mental dan rawatannya ini kadangkala sepanjang hayat. Maka ia memerlukan kesabaran," kata Presiden Halimah.

Beliau juga berkata kesabaran ini bukan hanya diperlukan oleh para pesakit mental. Malah juga para penjaga mereka dan anggota masyarakat.

"Mereka yang mengalami isu kesihatan mental kadangkala tidak mahu bangun dari katil, tidak mahu keluar rumah atau tidak mahu perhi kerja. Ia memberi tekanan kepada mereka.

"Sekalipun demikian ia juga penting untuk mereka dan orang-orang yang memberikan sokongan kepada mereka untuk mengetahui bahawa setiap langkah yang diambil adalah langkah menuju kejayaan," ujar Puan Halimah.

Buku 'Patience and Gratitude' itu diterbitkan dalam bentuk e-buku untuk menarik lebih ramai pembaca baik dari dalam mahupun luar negara. Langkah itu adalah yang pertama buat Kelab HEAL yang sudah pun menerbitkan enam buku setakat ini.  

- BERITAmediacorp/nk

Top