Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura yang sarankan kriteria 'baru' tentukan awal bulan Islam. Ini penjelasan lanjut pakar...

Kriteria baru menentukan anak bulan Hari Raya yang akan mula digunakan di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei pada tahun 2022, sebenarnya diusulkan oleh Singapura sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kriteria baru menentukan anak bulan Hari Raya yang akan mula digunakan di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei pada tahun 2022, sebenarnya diusulkan oleh Singapura sendiri.

Ia diusulkan menerusi Majlis Agama Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura (MABIMS). Demikian dedah pakar ilmu falak tempatan yang juga Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa MUIS, Ustaz Dr Firdaus Yahya.

Pada Khamis (21 Okt), MUIS memaklumkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji masing-masing ditukar kepada 3 Mei dan 10 Julai. Pengumuman itu dilakukan kira-kira enam bulan selepas Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mewartakan 2 Mei dan 9 Julai sebagai Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Menurut MUIS, perubahan tarikh berkenaan berlaku kerana kriteria menentukan anak bulan disemak semula. Badan-badan penguasa Islam tertinggi Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura sudah sebulat suara sepakat menggunakan kriteria yang 'baru' itu.

"Dari tahun 2017, kita adakan mesyuarat MABIMS untuk keempat-empat negara ini. Kita menilai kriteria yang lama dan Singapura mencadangkan kriteria yang baru ini. Kriteria yang baru ini berdasarkan data yang terkumpul daripada 700 pencerapan anak bulan," kata Ustaz Dr Firdaus.

"Jadi bagi data yang baru ini, keempat-empat negara menilai dan semak kembali lalu akhirnya mereka bersetuju untuk menggunakan kriteria yang baru bermula dari tahun 2022. Kriteria kita lah. Alhamdulillah."

Beliau menambah, kriteria itu asalnya diutarakan oleh seorang pakar dan jurutera dari Jordan bernama Muhammad Auda. Beliau arif dalam perihal pencerapan anak bulan. Pihak Singapura kemudian memilih untuk mempertimbangkan kriteria yang dikemukakan pakar itu kerana ia "lebih saintifik dan tepat".

Dalam konteks masa kini, khususnya bagi negara-negara anggota MABIMS, penentuan awal bulan Islam ditentukan berdasarkan Imkanur Rukyah.

"Kita di Singapura tidak melihat anak bulan. Ia sangat sukar (dilihat)... seperti kita meletakkan benang putih dekat dengan lampu putih. (Maka itu), kita mengamalkan Imkanur Rukyah. Imkan maksudnya 'possibility' - kemungkinan untuk rukyah (melihat anak bulan). Kita bergantung kepada hisab, ilmu matematik," jelas Ustaz Firdaus.

Di bawah Imkanur Rukyah, ada satu ukuran yang digunakan untuk menganggarkan kedudukan anak bulan.

"Kriteria yang lalu berdasarkan data yang dikumpul dari pihak Indonesia selama 20-30 tahun. Namun kita di Brunei, Singapura dan Malaysia sentiasa menyatakan itu bukan kriteria yang muktamad kerana boleh ada perubahan terhadap cuaca, perubahan terhadap macam-macam faktor yang boleh menjejas kriteria itu," tambahnya.

BAGAIMANA KRITERIA BARU BERFUNGSI?

Untuk memberi gambaran lebih jelas tentang kriteria baru dan bagaimana ia menjejas tarikh-tarikh tertentu dalam kalender Islam, Ustaz Dr Firdaus menggunakan senario Hari Raya Puasa tahun depan.

"Kita bergantung kepada matematik tetapi kita tetap ingin tahu kedudukan anak bulan. Kita nak lihat anak bulan ketika dan selepas tenggelam matahari pada hari ke-29 setiap bulan. Kalau untuk bulan Syawal, kita lihat pada 29 Ramadan," terang Ustaz Firdaus.

"Kriteria lama menyatakan, kalau anak bulan itu melebih 2° atas ufuk, esok adalah Hari Raya, atau besoknya bulan yang baru. Tapi kalau kriteria yang baru, tidak. Mesti melebihi 3° dan jarak antara matahari dan anak bulan (diteliti).

"Sebagai contoh, ketika matahari tenggelam, (di tengahnya) ufuk dan anak bulan di atas. Jadi jarak antara matahari dengan anak bulan itu mesti melebihi 6.4°."

(Gambar hiasan: Jordan Steranka/Unsplash)

(Gambar hiasan: Jordan Steranka/Unsplash)

Perbezaan antara matahari dan anak bulan yang dijangka dilihat pada hari yang seharusnya malam Hari Raya pula (1 Mei 2022) terletak pada paras 5°.

"Jadi ia di bawah kriteria baru. Ia di bawah 6°. Maka kita menganggap keesokannya baru lengkap bagi bulan yang lama. Ramadan daripada 29 hari, kita lengkapkan kepada 30 hari," kata Ustaz Dr Firdaus.

BULAN-BULAN ISLAM YANG TERJEJAS

Ditanya apakah umumnya tarikh-tarikh penting yang terjejas oleh kriteria yang diperhalusi ini, pakar ilmu falak itu berkata ada empat bulan penting yang terjejas.

"Syawal, Zulhijjah, Muharram dan Rabiulawal. Kalau ikut kriteria lama dah cukup syarat. Tapi kalau ikut kriteria baru, belum cukup syarat. Jadi kena tambah satu lagi hari, pada bulan sebelumnya. Jadi dilewatkan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji, dilewatkan Muharram dan dilewatkan juga Rabiulawal," jawab Ustaz Firdaus.

Bulan Jamadilakhir turut terjejas tetapi tidak ada sebarang tarikh penting dalam bulan tersebut mengikut kalender Islam.

Bulan-bulan yang lain semua tidak terjejas dengan ukur tara baru itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan