Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura turunkan ramalan GDP 2020 kepada -0.5% hingga 1.5% ekoran virus COVID-19

Setelah mencatat pertumbuhan ekonomi 0.7 peratus tahun lalu, iaitu pertumbuhan paling rendah dalam tempoh sedekad, Singapura menjangkakan pertumbuhan yang lebih perlahan pada 2020 di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Feb 2020 10:07AM Dikemas Kini : 17 Feb 2020 08:57PM

SINGAPURA: Setelah mencatat pertumbuhan ekonomi 0.7 peratus pada tahun lalu, iaitu pertumbuhan paling rendah dalam tempoh sedekad, Singapura menjangkakan pertumbuhan yang lebih perlahan pada 2020 dan sudah menurunkan ramalan bagi Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan virus korona COVID-19.

Pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini kini dijangkakan sekitar 0.5 peratus, iaitu di tengah-tengah anggaran julat antara -0.5 peratus hingga 1.5 peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (17 Feb ). Unjuran yang diramalkan pada November lalu adalah antara 0.5 hingga 2.5 peratus.

Singapura setakat ini sudah mengesahkan 75 kes jangkitan virus korona baru, dengan pihak berkuasa pada awal bulan ini memutuskan untuk menaikkan tahap Sistem Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) kepada warna Jingga.

Minggu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi amaran bahawa penularan COVID-19 akan meninggalkan kesan yang ketara kepada ekonomi negara untuk beberapa suku seterusnya.

MTI sebelum ini menyatakan bahawa ramalannya adalah berdasarkan pertumbuhan sederhana pada pertumbuhan ekonomi global dan kebangkitan pada kitaran elektronik global pada tahun ini.

Penularan COVID-19 bagaimanapun mungkin akan memalapkan prospek pertumbuhan China dan negara-negara lain yang terjejas di seluruh dunia.

Perkembangan-perkembangan di China pula akan membawa kesan kepada ekonomi serantau selepas sektor pelancongan dan permintaan import lain dari China merosot sehingga menjejas rangkaian bekalan.

"Sekiranya wabak COVID-19 menjadi lebih meluas, teruk dan berlarutan lebih panjang daripada yang dijangkakan, mungkin terdapat kemerosotan yang lebih mendadak pada permintaan global, serta tempoh gangguan yang lebih panjang ke atas rangkaian bekalan dan pengeluaran global," menurut laporan itu.

Kelembapan ekonomi China yang lebih mendadak daripada yang dijangkakan ekoran wabak ini juga akan membantutkan pertumbuhan perdagangan dan ekonomi global, tambah MTI.

Pada masa yang sama, ketidakpastian terus mencengkam ekonomi global, seperti hubungan perdagangan Amerika-China dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

KESAN COVID-19 PADA EKONOMI S'PURA

Berlatarbelakangkan kesuraman ini, MTI menyatakan ekonomi Singapura semakin melemah sejak tinjauan terakhirnya pada November lalu, dengan penularan COVID-19 dijangka menjejas ekonomi Singapura melalui beberapa sudut.

Pertama, sektor yang bergantung kepada pasaran luar, seperti pengilangan dan perdagangan borong, akan terjejas oleh prospek pertumbuhan yang lemah dalam beberapa pasaran permintaan utama Singapura, termasuk China.

Kedua, penularan COVID-19 menyebabkan kemerosotan yang sangat ketara pada jumlah pelancong, terutamanya dari China. Ini menjejas teruk sektor pelancongan dan pengangkutan.

Ketiga, permintaan domestik mungkin merosot sedang penduduk tempatan mengurangkan aktiviti beli-belah dan makan luar. Ini akan menjejas firma-firma dalam segmen-segmen seperti runcit dan khidmat makanan.

"Memandangkan COVID-19 masih menular, MTI akan terus memantau perkembangan dan kesannya terhadap ekonomi Singapura dengan lebih teliti," menurut kenyataan itu lagi.

2019 PERTUMBUHAN PALING LEMBAP DALAM SEDEKAD

Dalam laporannya pada Isnin, MTI turut mengumumkan bahawa ekonomi Singapura berkembang sebanyak 1 peratus pada suku terakhir 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Ini lebih tinggi daripada anggaran awal Pemerintah sebanyak 0.8 peratus dan pertumbuhan 0.7 peratus pada suku ketiga.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, GDP Singapura tumbuh 0.6 peratus. Ia jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan 2.2 peratus pada suku ketiga namun melepasi ramalan awal sebanyak 0.1 peratus.

Dengan ini, pertumbuhan sepanjang 2019 adalah 0.7 peratus, lebih perlahan berbanding 3.4 peratus pada 2018 dan ia adalah yang paling rendah sejak krisis kewangan global pada tahun 2009.

Sektor pengilangan menguncup sebanyak 1.4 peratus berbanding pertumbuhan 7.0 peratus pada 2018. Prestasi sektor ini mengalami kemerosotan akibat kejatuhan pada hasil pengeluaran dalam kelompok elektronik, kimia, kejuruteraan jitu dan kejuruteraan pengangkutan, tambah MTI.

Sektor binaan berkembang sebanyak 2.8 peratus berbanding penguncupan 3.5 peratus pada 2018, dipacu oleh kerja-kerja binaan dalam sektor awam dan privet.

Industri perkhidmatan meningkat 1.1 peratus, lebih sederhana berbanding pertumbuhan 3.4 peratus pada 2018, dengan pertumbuhan didorong oleh sektor kewangan dan insurans, perkhidmatan lain dan sektor khidmat perniagaan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan