Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tubuh pejabat baru naungan MOF; pemangkin pembiayaan mampan

Sebuah pejabat baru, yang akan membantu memangkinkan pembiayaan dan pelaburan mampan, ditubuhkan di bawah naungan Kementerian Kewangan (MOF). Ini sedang Singapura berusaha untuk memperluaskan ekosistem pembiayaan mesra alamnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tubuh pejabat baru naungan MOF; pemangkin pembiayaan mampan

Menteri Kewangan Lawrence Wong berucap di perbincangan tidak rasmi di Persidangan Pelaburan dan Pembiayaan Mampan Singapura pada 30 Sep 2021.

Diterbitkan : 30 Sep 2021 02:20PM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 02:22PM

SINGAPURA: Sebuah pejabat baru, yang akan membantu memangkinkan pembiayaan dan pelaburan mampan, ditubuhkan di bawah naungan Kementerian Kewangan (MOF). Ini sedang Singapura berusaha untuk memperluaskan ekosistem pembiayaan mesra alamnya.

Menteri Kewangan Lawrence Wong mengumumkan pejabat baru itu ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Persidangan Pelaburan dan Pembiayaan Mampan Singapura pada Khamis (30 Sep).

Pejabat Program Bon Hijau akan membangunkan sebuah rangka kerja dan bekerjasama dengan lembaga-lembaga berkanun serta melakukan pendampingan industri dan menguruskan perhubungan pelabur, menurut beliau.

Untuk meningkatkan bekalan dan permintaan bagi pelaburan mesra alam, Encik Wong berkata Pemerintah akan menerajui usaha itu dengan membentangkan rangka kerja serta peraturan, mengujinya bersama pengeluarnya serta mencari jalan untuk menghimpunkan dan menghubungkan pihak-pihak berkepentingan yang berbeza.

Bulan lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengumumkan penubuhan Program Nota Jangka Pertengahan Berbilang Mata Wang (MTN) dan Rangka Kerja Bon Hijau, menjadikannya lembaga berkanun pertama untuk melakukannya.

Sementara itu, bagi membantu individu, SME dan syarikat besar mengakses pembiayaan mampan, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan membantu dalam pengeluaran instrumen pembiayaan mampan termasuk bon serta pinjaman hijau yang berkaitan dengan kemampanan.

“Ini akan menyokong syarikat-syarikat untuk mengakses pembiayaan sedang ia melabur dalam projek mesra alam dan beralih ke arah amalan-amalan perniagaan yang lebih mampan," tambah beliau.

Berucap di persidangan itu, Encik Wong berkata masyarakat perbankan, kewangan dan pelaburan memainkan peranan penting dalam membantu pelaburan dalam huraian tenaga boleh diperbaharui serta teknologi neutral karbon.

Memandangkan usaha masyarakat awam sahaja tidak meliputi skala pengurangan perubahan iklim di rantau ini, Encik Wong sangat-sangat menggalak lebih ramai dalam sektor swasta untuk terus mengenal pasti peluang serta memanfaatkan kerjasama dalam kaedah kewangan yang teradun.

Dengan pasaran "besar" bagi kredit karbon secara sukarela, Encik Wong berkata Singapura berpotensi menjadi hab perkhidmatan dan perdagangan karbon bagi rantau ini.

BINA KEUPAYAAN, KEPAKARAN

Bagi menyokong pembiayaan hijau, masyarakat kewangan Singapura juga perlu membina keupayaan serta kepakaran yang kukuh, kata Encik Wong.

Ini termasuk kepakaran khusus dalam mengukur faedah alam sekitar dan kos projek, menganggar berapa kos sekitaran yang boleh berubah menjadi risiko masa hadapan serta membangunkan kaedah bagi melaporkan kemampanan projek dan perniagaan.

"Institusi Pengajian Tinggi kami disesuaikan dengan keperluan ini dan mengemas kini kurikulum mereka untuk memastikan lulusan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang relevan," kata Encik Wong.

Pada masa yang sama, Pusat Kecemerlangan kewangan mampan seperti Institut Kewangan Mampan dan Hijau Universiti Nasional Singapura (NUS), sudahpun ditubuhkan untuk memenuhi permintaan kepakaran dan penyelidikan berpusat di Asia.

Menggulung ucapannya, Encik Wong menggesa semua pihak berkepentingan supaya memainkan peranan mereka dalam mewujudkan masa depan lebih mesra alam dan lebih lestari bagi Singapura serta rantau ini. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan