Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tingkatkan jumlah pasukan pengesanan hubungan rapat COVID-19

Sebagai persediaan menghadapi "lonjakan" jumlah kes COVID-19 yang "dijangkakan" dalam minggu-minggu mendatang, Singapura meningkatkan jumlah pasukan pengesanan hubungan rapat pesakit daripada tiga ke 20, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dalam sidang Parlimen pada Rabu (25 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tingkatkan jumlah pasukan pengesanan hubungan rapat COVID-19

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 25 Mar 2020 05:08PM Dikemas Kini : 25 Mar 2020 05:11PM

SINGAPURA: Sebagai persediaan menghadapi "lonjakan" jumlah kes COVID-19 yang "dijangkakan" dalam minggu-minggu mendatang, Singapura meningkatkan jumlah pasukan pengesanan hubungan rapat pesakit daripada tiga ke 20, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dalam sidang Parlimen pada Rabu (25 Mac).

"Kami boleh mengesan sehingga 4,000 hubungan rapat setiap hari, dan akan terus meningkatkan keupayaan pengesanan hubungan mengikut keperluan," katanya dalam kenyataan menteri berhubung penularan COVID-19 di Singapura.

Beliau berkata demikian selepas jumlah kes di Singapura bertambah kepada dua kali ganda daripada 266 ke 558 sejak seminggu lalu, dengan 80 peratus daripada kes-kes baru itu diimport. Tiga sumber utama bagi kes-kes yang diimport itu adalah United Kingdom, Amerika Syarikat dan Indonesia.

"Sepanjang beberapa minggu akan datang, jumlah kes akan terus meningkat, sedang sejumlah daripada sekitar 200,000 rakyat Singapura di luar negara pulang ke Singapura dari seluruh dunia," kata Encik Gan.

Meskipun begitu, beliau berkata strategi Singapura adalah untuk memperlahankan kadar jangkitan dan mengekalkannya pada paras rendah selama mungkin.

"Kadar jangkitan yang lebih rendah akan membantu kami untuk menjalankan siasatan epidemiologi dengan lebih baik, pengesanan hubungan dan kuarantin hubungan rapat, bagi mencegah jangkitan COVID-19 yang lebih meluas dalam masyarakat," katanya.

"Ia juga mengekalkan keupayaan jagaan kesihatan untuk merawat kes-kes lebih serius."

MERATAKAN LENGKUNG JANGKITAN

Untuk mencapainya, Encik Gan berkata Singapura telah melaksanakan jarak selamat yang ketat dan langkah-langkah lain, sambil menambah bahawa meskipun jumlah kes akan terus meningkat jika langkah-langkah itu dilakukan dengan betul, ia akan membawa kepada "puncak lebih rendah".

"Ini lazimnya dikenali sebagai meratakan lengkung " tambahnya.

"Namun dengan meratakan lengkung, kami sebenarnya mungkin menyebabkan tempoh perebakan pandemik itu berpanjangan, bermakna masa lebih lama sebelum pandemik itu berakhir."

Namun jika Singapura tidak melakukan apa-apa, Encik Gan berkata jumlah kes akan terus melonjak, serupa dengan situasi di beberapa bandar dan negara.

Satu-satunya harapan ketika itu, katanya, adalah kebanyakan penduduk akan dijangkiti virus itu dan menjadi kebal dari jangkitan, dan kadar jangkitan akan menjadi lebih perlahan sedang lebih ramai menjadi kebal atau vaksin atau penawar ditemui.

Namun Encik Gan berkata senario itu mempunyai dua risiko: Peningkatan dalam kes yang tidak terkawal dalam tempoh yang singkat akan membebankan sistem jagaan kesihatan dan menyebabkan angka korban yang tinggi. Risiko kedua pula adalah imuniti ini belum pasti berkesan atau akan bertahan.

Justeru, Encik Gan berkata adalah penting untuk meratakan lengkung jangkitan dengan mengesan kes-kes dari awal dan memulakan pengesanan hubungan dengan segera bagi mengurangkan risiko virus merebak.

Menurut Encik Gan, Singapura dapat meluaskan keupayaan pengesanan hubungan dengan tenaga kerja tambahan daripada agensi perkhidmatan awam termasuk Angkatan Bersenjata Singapura.

MEMANFAATKAN TEKNOLOGI

Bagi melengkapi usaha mereka, Encik Gan menggalakkan rakyat Singapura untuk memuat turun aplikasi TraceTogether untuk melindungi diri dan keluarga mereka.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan