Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tidak benarkan masuk pemegang pas jangka panjang, pelawat jangka pendek dari India

Semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke India dalam masa 14 hari lalu, tidak akan dibenarkan masuk ke negara ini mulai 24 Apr. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tidak benarkan masuk pemegang pas jangka panjang, pelawat jangka pendek dari India

Pemandangan di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 22 Apr 2021 09:02PM Dikemas Kini : 22 Apr 2021 09:13PM

SINGAPURA: Semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke India dalam masa 14 hari lalu, tidak akan dibenarkan masuk ke negara ini mulai 24 Apr.

Demikian diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (22 Apr).

Pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) merangkap Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata larangan itu termasuk pelawat yang transit di India dan mereka yang sudah memperoleh kebenaran sebelum ini untuk memasuki Singapura.

Keadaan COVID-19 di India semakin bertambah buruk sejak kebelakangan ini dengan jumlah kes harian yang tinggi.

Menurut Encik Wong, Pemerintah akan memberi sokongan tambahan kepada sektor-sektor seperti binaan, marin dan pemprosesan, memandangkan kebanyakan yang datang dari India bekerja dalam sektor tersebut dan tinggal di dormitori.

"Kami tahu langkah besar ini akan memberi kesan terhadap sektor-sektor binaan, marin dan pemprosesan. Dan banyak SME tempatan dan kontraktor akan teruk terjejas. Pemerintah akan melihat bagaimana langkah-langkah sokongan tambahan dapat disediakan untuk membantu syarikat-syarikat ini," katanya.

Tambah Encik Wong, tidak ada bukti yang menunjukkan kes jangkitan baru di dormitori Westlite Woodlands ada kaitan dengan varian baru dari India.

"Meskipun, jika mereka menjalani notis jangan keluar rumah, kita tahu ini tidak bermakna 100 peratus berkesan dan kebocoran masih boleh berlaku,"katanya.

"Jika keadaan itu berlaku dalam kalangan pekerja baru yang datang dari India dalam varian baru mungkin juga merebak ke dormitori dan lebih teruk lagi, pekerja yang sudah sembuh atau divaksinasi mungkin terjangkit dan kita akan melihat kelompok baru muncul lagi dalam dormitori kita."

LANGKAH LEBIH KETAT

Dalam pada itu, MOH juga mengumumkan semua pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke India dan belum selesai menjalani SHN mereka selama 14 hari menjelang 11.59 malam ini perlu menjalani notis jangan keluar rumah tambahan di kemudahan yang dikhususkan, bukan di kediaman mereka.

Menyifatkan langkah-langkah baru itu sebagai "pembekuan sementara" kedatangan dari India, Encik Wong berkata ini akan memberi Singapura masa untuk memantau keadaan di sana dan lebih memahami "varian baru di sana dan risiko yang ditimbulkan terhadap kita."

VARIAN BARU

Mengulas mengenai varian baru COVID-19, pengarah khidmat perubatan Profesor Madya Kenneth Mak berkata sehingga 20 Apr, Singapura mengesan tujuh kes tempatan varian B117 atau varian UK dan satu kes tempatan varian B1351 atau dikenali juga sebagai varian Afrika Selatan.

Kes varian B1351 atau Kes 61822 melibatkan pekerja di perusahaan marin dan terdedah kepada "sumber-sumber berpotensi berjangkit" dari kapal yang singgah di Singapura, katanya.

Berhubung tujuh kes varian B117, semua langkah kesihatan awam telah diambil untuk mengasingkan dan membendung kes tersebut, kata Prof Madya Mak.

Singapura juga mengesan 342 kes import dengan varian B117, B1351, serta P1, P2, dan P3, kata Prof Madya Mak.

Varian P1, P2 dan P3 juga masing-masing dikenali sebagai B11281, B11282 dan B11283.

Jenis B1525 dan B1617 juga dikesan dalam kalangan kes import di Singapura, tambahnya.

“Semua kes tersebut sudah dikenakan SHN atau diasingkan sebaik tiba di Singapura, dan kami tidak mengesan penularan lanjut dalam masyarakat bagi mana-mana varian.”

Dalam satu kenyataan berasingan pada Khamis, MOH menyatakan Singapura mengesan 46 kes varian B1617 yang diimport, atau varian "mutasi berganda" dari India. Terdapat juga lima kes varian B1525 yang diimport. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan