Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tidak akan kembali ke keadaan sebelum COVID-19, kata Chan Chun Sing

"Kita tidak akan kembali ke keadaan sebelum COVID-19... Kita perlu menetapkan hala tuju yang baru sekarang," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Chan Chun Sing pada Selasa (11 Ogos), selepas Singapura mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai "prestasi sukuan terburuk dalam rekod"

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Aug 2020 11:50AM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 08:52PM

SINGAPURA: "Kita tidak akan kembali ke keadaan sebelum COVID-19... Kita perlu menetapkan hala tuju yang baru sekarang," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Chan Chun Sing pada Selasa (11 Ogos), selepas Singapura mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai "prestasi sukuan terburuk dalam rekod".

"Dari segi konteks, ia adalah prestasi sukuan terburuk dalam rekod. Ini bermakna ramalan bagi 2020 menjejas pertumbuhan kukuh yang diraih sepanjang dua hingga tiga tahun yang lalu.

"Data ini mencerminkan kesan COVID-19 serta kesan-kesan lain yang mempengaruhi ekonomi sejagat dan kedudukan kita dalam rantaian nilai global," kata Encik Chan dalam satu sidang media.

Menteri itu turut mendedahkan bahawa sesetengah pihak mungkin mengharapkan kebangkitan yang pantas dan dapat kembali ke "normal lama", hakikatnya "kita tidak akan dapat kembali ke keadaan sebelum COVID-19" dan pemulihan akan mengambil masa dan "berkemungkinan tidak akan berjalan lancar".

"DUNIA SUDAH BANYAK BERUBAH"

Encik Chan juga menarik perhatian kepada perubahan-perubahan ketara di peringkat global yang menjangkaui penularan pandemik ini.

Persekitaran geopolitik yang membolehkan Singapura berkembang sepanjang 50 tahun yang lalu sudah berubah.

"Ketegangan antara kuasa-kuasa besar semakin meningkat," katanya.

Encik Chan berkata beliau berharap isu-isu geopolitik tidak akan mencetuskan "konflik secara terbuka, sekali gus menjadikan seluruh dunia tidak stabil".

"Kita harus mengelakkan daripada terperangkap dalam konflik antara kuasa-kuasa besar atau terjerat dalam dunia yang berpecah belah dalam hubungan perdagangan dan piawai teknologi," katanya.

Encik Chan juga menarik perhatian kepada bagaimana ciri-ciri pekerjaan sudah berubah.

"Dengan aturan bekerja dari rumah, lebih banyak peluang pekerjaan antarabangsa akan wujud untuk para pekerja kita. Ini bermakna pekerja-pekerja lain, di negara-negara lain, juga boleh menjalankan tugas dari rumah mereka.

"Anda mungkin melihat sesetengah pekerjaan di ibu pejabat serantau yang berpangkalan di sini diiklankan sebagai "boleh bekerja di Singapura" atau "boleh bekerja secara online'. Ini akan menjejas banyak pekerjaan PMET, yang boleh dilakukan secara maya atau melalui automasi dan Kecerdasan Buatan (AI)," katanya.

Akhir sekali, perubahan pada ekonomi "akan menimbulkan lebih banyak pergeseran masyarakat dan tekanan" - antara mereka yang berkelebihan dan mereka yang kurang bernasib baik, antara warga asing dan rakyat tempatan, dan juga antara rakyat Singapura dan penduduk tetap, kata Encik Chan.

ARAH KE HADAPAN

"Kita belum lagi mempunyai jawapan kepada semua ini dan hakikatnya, keadaan berubah dengan begitu pantas, tanpa disedari, dan kita tidak boleh berpeluk tubuh saja," kata Encik Chan sambil menambah bahawa Pemerintah akan bekerjasama dengan rakyat untuk "membantu mereka memahami tentang perubahan itu dan melaksanakannya sebaik mungkin".

Dalam masa beberapa bulan akan datang, Pemerintah akan memberikan "kemas kini" berhubung situasi ekonomi dan pekerjaan "berdasarkan sektor", kata Encik Chan.

"Kita akan melibatkan kesatuan, persatuan perdagangan dan para majikan. Kita akan bertemu dengan syarikat-syarikat daripada pelbagai sektor, bekerjasama dengan kesatuan dan perusahaaan, membincangkan bersama mereka tentang perubahan itu dan menetapkan hala tuju bagi mengatasi krisis ini," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan