Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'teman lama China', kata Naib Presiden China Wang Qishan

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bertemu dengan Naib Presiden China Wang Qishan hari ini (9 Apr) di pekarangan kepimpinan Zhongnanhai di Beijing sebagai sebahagian daripada lawatan lima hari PM Lee ke China.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Apr 2018 06:17PM Dikemas Kini : 09 Apr 2018 11:28PM

BEIJING: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bertemu dengan Naib Presiden China Wang Qishan hari ini (9 Apr) di pekarangan kepimpinan Zhongnanhai di Beijing sebagai sebahagian daripada lawatan lima hari PM Lee ke China.

Semasa pertemuan itu, Encik Wang menyifatkan Singapura sebagai "rakan lama China" ketika beliau menekankan bahawa kedua-dua pemimpin itu mengenali satu sama lain sejak bertahun lamanya.

Encik Wang menambah bahawa Perdana Menteri Pengasas Singapura Lee Kuan Yew memainkan peranan penting dalam "menyumbang kepada reformasi dan proses pembukaan ekonomi China sejak ia mula dijalankan 40 tahun dahulu".

Beliau juga berkongsi bahawa banyak yang China boleh pelajari daripada pengalaman Singapura sedang ia berusaha untuk membuka ekonominya.

Menjawab komen beliau, PM Lee berkata ramai rakyat Singapura dan China sering mengadakan lawatan ke negara masing-masing atas urusan perniagaan dan pelancongan. Terdapat banyak lagi yang boleh Singapura pelajari daripada China.

"Saya sudahpun berhubungan dan bertukar-tukar pandangan dengan para pemimpin Singapura sepanjang kerjaya saya dalam pemerintah China... Saya rasa ini peluang baik bertemu satu sama lain hari ini memandangkan jadual anda (PM Lee) yang padat," kata Encik Wang.

PM Lee berkata beliau gembira dapat mengadakan lawatan ke Beijing "untuk bertemu dengan kawan lama dan pemimpin China". PM Lee merupakan tetamu dari luar negara yang kedua bagi Encik Wang sejak beliau dilantik sebagai Naib Presiden pada bulan Mac lalu.

Kedua-dua pemimpin menarik perhatian kepada kerjasama yang "kukuh dan mendalam" antara dua negara melalui projek-projek antara pemerintah termasuk Taman Industri Suzhou, Bandar Eko Tianjin dan Inisiatif Ketersambungan Chongqing.

Encik Wang memberitahu PM Lee semasa mesyuarat mereka bahawa fasa selanjutnya bagi pembukaan ekonomi China tidak hanya bagi mencapai "matlamat kuantitatif tetapi juga kualitatif".

PM Lee sebaliknya berkata bahawa dunia, termasuk China, sedang menjalani fasa peralihan dan Singapura akan terus memberi sokongan kepada China dalam usahanya untuk membuka ekonominya.

Pemimpin Singapura itu turut menyatakan keyakinannya terhadap China yang akan terus membuka ekonominya dan mempertahankan sistem perdagangan antara negara, dan menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran di rantau dan dunia ini.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan