Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tarik pelaburan S$17.2 bilion pada 2020, melebihi sasaran meski pandemik

Jumlah itu menjangkaui sasaran EDB untuk mendapatkan komitmen pelaburan antara S$8 bilion dengan S$10 bilion setahun bagi jangka pertengahan hingga jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jan 2021 01:27PM Dikemas Kini : 20 Jan 2021 09:59PM

SINGAPURA: Singapura berjaya menarik komitmen pelaburan aset tetap bernilai S$17.2 bilion pada 2020, naik daripada S$15.2 bilion berbanding tahun sebelumnya meskipun berdepan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Demikian menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) hari ini (20 Jan).

Jumlah itu menjangkaui sasaran EDB untuk mendapatkan komitmen pelaburan antara S$8 bilion dengan S$10 bilion setahun bagi jangka pertengahan hingga jangka panjang.

"Ini adalah prestasi kukuh daripada pasukan EDB dalam tahun yang luar biasa mencabar untuk ekonomi," kata Menteri Perdagangan Chan Chun Sing kepada para wartawan dalam satu sesi wawancara online.

Sektor elektronik dan kimia kekal sebagai dua sumber utama pelaburan tahun lalu, dengan masing-masing meraih pelaburan sebanyak S$6.5 bilion dan S$4.1 bilion.

Singapura menyaksikan komitmen pelaburan tertinggi dari Amerika Syarikat (53.4 peratus) disusuli pasaran tempatan (17.3 peratus) dan Eropah (17.1 peratus).

Keseluruhan perbelanjaan perniagaan setahun, yang merujuk kepada kenaikan perbelanjaan operasi syarikat termasuk gaji dan sewa, adalah S$6.8 bilion tahun lalu berbanding S$9 bilion dalam tahun 2019.

Apabila projek-projek itu dilaksanakan sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan 19,352 pekerjaan baru sepanjang lima tahun akan datang dan menyumbang kepada S$31.2 bilion nilai tambahan setiap tahun.

Hampir separuh (45 peratus) daripada pekerjaan itu adalah dalam bidang pengeluaran, bagi mengisi peranan dalam pengilangan, kejuruteraan, rantaian bekalan dan logistik.

Ini disusuli peranan-peranan berkaitan digital yang akan menyumbang lagi 24 peratus, menurut EDB.

PRESTASI KUKUH, CABARAN TETAP WUJUD

Encik Chan berkata Singapura kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi firma-firma global dalam pelbagai sektor, meskipun keadaan tidak menentu disebabkan pandemik.

Antara sebab yang dipetik Encik Chan termasuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, keupayaan untuk menarik bakat asing, pemerintah yang cekap dan dipercayai serta usaha-usaha untuk mengekalkan ketersambungan luar dan memastikan perniagaan dapat diteruskan.

Sistem pengawalan dan regim hak milik intelektual Singapura juga menyokong "premium kepercayaan" yang dinilai tinggi oleh syarikat-syarikat global, kata beliau.

Ini membolehkan Singapura menarik projek-projek pelaburan utama, khususnya produk-produk yang bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan intensif.

Sekalipun demikian, Encik Chan memberi amaran akan cabaran-cabaran akan datang disebabkan keadaan tidak menentu akibat penularan berlarutan kes COVID-19 hingga ke program-program vaksinasi yang "lembap dan tidak teratur" di negara-negara di merata dunia.

Ditambah pula dengan ketegangan geopolitik, rentak pemulihan ekonomi global kekal tidak menentu.

Encik Chan menambah ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China mungkin akan berlarutan.

"Ini boleh menyebabkan mereka berdepan keterbatasan untuk memikul lebih banyak tanggungjawab antarabangsa yang boleh menambah tekanan ke atas sistem perdagangan antarabangsa yang sudah dimanfaatkan oleh banyak negara, termask Singapura, selama bertahun-tahun," kata beliau.

Di Singapura sendiri, "sensitiviti" terhadap keseimbangan pasaran kerja antara penduduk tempatan dan warga asing semakin meningkat.

Meskipun isu itu boleh difahami memandangkan keadaan ekonomi yang lembap, Encik Chan berkata reputasi Singapura sebagai ekonomi terbuka dan terhubung boleh terjejas jika huraiannya tidak ditangani dengan baik, membawa kepada kesan yang buruk.

Trend bekerja dari rumah, yang juga disebabkan oleh pandemik, akan mengubah daya saing bagi merebut pekerjaan, tambah Encik Chan.

"Orang lain boleh merebut pekerjaan daripada kita tanpa perlu berada di Singapura. Kita juga boleh bersaing dengan orang lain tanpa perlu berada di luar negara, jika kita berkemahiran," ujar Encik Chan.

S'PURA MESTI KEKAL FLEKSIBEL

Semasa merumuskan perkongsiannya, Encik Chan berkata meskipun terdapat "sikap optimis tetapi berjaga-jaga" mengenai masa depan ekonomi bagi tahun ini, kita "tidak seharusnya menganggap bahawa perjalanan ini akan menjadi mudah".

"Banyak keadaan tidak menentu di hadapan kita, termasuk bagaimana keadaan COVID-19 ini akan terus berlarutan.

"Syarikat-syarikat akan mengambil lebih banyak masa untuk membuat keputusan mengenai pelaburan yang ingin dibuat dalam tempoh setahun dua ini disebabkan keadaan tidak menentu dalam pasaran tempatan mahupun global. Negara-negara akan bersaing lebih sengit untuk merebut pelaburan dan pekerjaan," kata beliau.

Untuk memacu pemulihan ekonomi, Singapura mesti kekal fleksibel dan boleh menyesuaikan diri mengikut keadaan, kata Encik Chan sedang beliau menggariskan empat strategi utama.

Strategi yang dimaksudkan adalah: Memperkukuh kedudukan Singapura sebagai "nadi penting" dalam nilai rantaian global; mengadakan peraturan-peraturan baru perdagangan dalam bidang-bidang masa depan seperti data, kewangan dan teknologi; menjana ekonomi berdaya inovasi dan mampan; serta membantu syarikat-syarikat dan pekerja untuk kekal berdaya saing dalam dunia pasca COVID-19.

Matlamat EDB adalah untuk mengekalkan komitmen pelaburan bagi jangka pertengahan dan panjang.

Selain daripada pelaburan-pelaburan aset tetap antara S$8 bilion dengan S$10 bilion, ia berharap untuk mengekalkan perbelanjaan keseluruhan perniagaan setiap tahun antara S$5 bilion dengan S$7 bilion dan mewujudkan antara 16,0000 dengan 18,000 pekerjaan baru.

Ia menambah ini akan terus memperkukuh asas-asas yang memacu kepentingan perniagaan di Singapura.

Ini termasuk peluang-peluang dari Asia, pendigitalan dan ekonomi digital, daya inovasi dan "kemahiran yang tajam" dalam tenaga kerja tempatan.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan