Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tarik komitmen pelaburan S$13 bilion pada 4 bulan pertama 2020

Walau di tengah-tengah COVID-19, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dapat menarik komitmen pelaburan bernilai sekitar S$13 bilion bagi empat bulan pertama tahun ini, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing. Komitmen pelaburan itu adalah bagi "beberapa tahun mendatang".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 May 2020 07:12PM Dikemas Kini : 30 May 2020 10:52PM

SINGAPURA: Walau di tengah-tengah COVID-19, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dapat menarik komitmen pelaburan bernilai sekitar S$13 bilion bagi empat bulan pertama tahun ini, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing. Komitmen pelaburan itu adalah bagi "beberapa tahun mendatang".

"Perkembangan sangat baik" ini bermakna, Singapura sudah melepasi sasaran antara S$8 bilion hingga S$10 bilion yang ditetapkan bagi keseluruhan 2020.

Pelaburan dalam sektor-sektor seperti elektronik dan infokom, akan mewujudkan "beberapa ribu pekerjaan" bagi para pekerja di Singapura buat tahun-tahun akan datang, kata Encik Chan dalam satu sesi taklimat media pada Sabtu (30 Mei).

Syarikat-syarikat seperti pembuat cip, Micron, mahupun firma dalam bidang sains hayat, Thermo Fisher Scientific, sedang menambah bilangan pekerjanya, kata Encik Chan.

Micron menyasarkan untuk menambah 1,500 pekerjaan di Singapura sepanjang beberapa tahun akan datang sementara Thermo Fisher Scientific sedang mengambil lebih ramai pekerja sekarang ini kerana permintaan bagi kit-kit uji COVID-19 naik mendadak.

"Ini mencerminkan keyakinan berterusan ramai pelabur dan peniaga besar dalam ekonomi kita," kata Encik Chan, yang akur pelaburan baru diperlukan dalam ekonomi untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

"Jadi jika anda lihat portfolio keseluruhannya, kerana kita mempelbagaikan ekonomi, kita mempunyai pelbagai pekerjaan dan peluang baru yang diwujudkan oleh pelaburan-pelaburan baru. Dan ia seharusnya membuat kita gembira walau kita tidak boleh berpuas hati," tambah beliau.

Meski kadar pengangguran naik melebihi 3 peratus, ia masih lebih baik daripada apa yang dikhuatiri, kata Encik Chan lagi, sambil menarik perhatian kepada negara-negara lain yang menyaksikan "lonjakan kadar pengangguran dalam tempoh singkat" disebabkan pandemik COVID-19.

"Kemungkinan untuk kembali kepada keadaan sebelum berlakunya COVID adalah kecil kerana begitu banyak perkara berubah. Permintaan global berubah, rantaian bekalan sejagat juga berubah," kata Encik Chan.

Dunia selepas berakhirnya COVID-19 pula belum lagi sesuatu yang pasti - vaksin atau kit uji pantas yang dimampui sukar untuk disediakan dalam masa yang singkat, katanya.

Maka itu, orang ramai harus "belajar untuk terus bertahan dan mencari nafkah" di tengah-tengah COVID-19, tambah beliau.

Akan ada peralihan tenaga kerja dari industri-industri lama kepada yang baru. Ini memerlukan para pekerja untuk menjalani semula latihan selain meningkatkan kemahiran, kata Encik Chan lagi.

"Kami tahu bahawa sukar untuk terus mengekalkan setiap pekerjaan dalam ekonomi ini.

"Tetapi kami berazam untuk memastikan setiap rakyat Singapura dibantu dan perniagaan dapat mencapai keseimbangan baru, atau apa yang dipanggil sebagai 'norma baru'," terang beliau lagi.

Pemerintah, menurutnya, sedang mengambil "strategi menyeluruh" untuk menjamin pekerjaan dan perniagaan-perniagaan di sini.

Ini termasuk pendekatan seperti membantu syarikat-syarikat terus menggajikan pekerja, di samping bekerjasama dengan persatuan-persatuan dan dewan perdagangan untuk menambah peluang bagi latihan berbayar dalam pelbagai sektor untuk para lulusan baru mahupun mereka yang tukar kerjaya.

Ditanya bila Singapura akan menyemak semula kebergantungannya kepada tenaga kerja asing, Encik Chan menjawab permintaan sebenarnya "tidak monolitik" dan bertujuan melengkapi tenaga kerja Singapura.

"Kami selalu meninjau bagaimana kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada para pekerja bergaji rendah dalam industri binaan, pembersihan, keselamatan dan sebagainya," jawab beliau.

Mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing juga akan melibatkan pengurangan permintaan bagi tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu - seperti menggunakan cara-cara lebih canggih dalam sektor binaan, menerapkan ciri-ciri keselamatan tahap tinggi apabila mereka bentuk bangunan-bangunan baru dan orang ramai menyesuaikan diri kepada "kebiasaan-kebiasaan sosial" seperti menjaga kebersihan sekitaran mereka.

"Kami terus menerus meninjau bagaimana kita boleh dapatkan... tenaga kerja berbakat untuk melengkapi tenaga kerja Singapura, kerana jika mereka tidak bersaing bagi pihak kita, mereka akan bersaing dengan kita," katanya lagi.

"Kita mahu mempunyai individu-individu berbakat untuk menjadi sebahagian pasukan Singapura, bukan melawan Singapura dari tempat lain."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan