Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura tarik balik sekatan sempadan bagi pengunjung dari China dan Victoria, Australia

Singapura akan menarik balik sekatan sempadan bagi semua pengunjung dari tanah besar China dan negeri Victoria di Australia mulai Jumaat depan (6 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tarik balik sekatan sempadan bagi pengunjung dari China dan Victoria, Australia

Para penumpang beratur di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Changi pada 8 Jun 2020. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 29 Oct 2020 07:21PM Dikemas Kini : 29 Oct 2020 07:22PM

SINGAPURA: Singapura akan menarik balik sekatan sempadan bagi semua pengunjung dari tanah besar China dan negeri Victoria di Australia mulai Jumaat depan (6 Nov).

Ia berkuat kuasa mulai tengah malam pada 6 Nov dan termasuk pelawat bukan warga Singapura, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang. Demikian menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Khamis (29 Okt).

Mulai 12.00 tengah hari pada 30 Okt, pelawat yang melakukan perjalanan dari tanah besar China dan Victoria boleh memohon bagi Pas Perjalanan Udara (ATP) untuk masuk ke Singapura pada atau selepas 6 Nov.

Pemohon harus sudah berada di tanah besar China atau Australia selama 14 hari berturut-turut sebelum tarikh masuk ke Singapura dan harus menaiki penerbangan langsung ke Singapura tanpa membuat sebarang persinggahan.

Mereka kemudian perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase COVID-19 (PCR) sebaik tiba di lapangan terbang. Pelawat berkenaan dibenarkan meneruskan kegiatan mereka di Singapura, tanpa perlu menjalani notis Jangan Keluar Rumah (SHN) jika keputusan ujian mereka adalah negatif.

Mulai tengah malam pada 6 Nov, rakyat Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang pulang dari tanah besar China dan wilayah Victoria turut perlu menjalani ujian PCR COVID-19 sebaik tiba di sini.

Mereka juga dibenar meneruskan kegiatan di Singapura tanpa perlu menjalani notis SHN jika diuji negatif COVID-19.

Inisiatif terbaru ini susulan penarikan balik sekatan sempadan bagi pelawat dari Australia, tidak termasuk negeri Victoria, Brunei Darussalam, New Zealand dan Vietnam.

Setakat 29 Okt, CAAS sudah pun meluluskan 1,375 permohonan dari negara-negara itu dan menerima 602 pelawat. Tidak seorang pun pengunjung yang diuji positif COVID-19 sebaik sahaja tiba di sini.

CAAS menyatakan kedua-dua tanah besar China dan negeri Victoria mempunyai sistem pemantauan kesihatan awam yang menyeluruh dan "menunjukkan berjaya mengawal" penularan COVID-19.

Sepanjang 28 hari lalu, kadar jangkitan virus tempatan di China dan Victoria masing-masing adalah 0.00009 dan 0.099 bagi setiap 100,000. Risiko virus diimport dari negara-negara itu dinilai sebagai rendah, tambah CAAS.

CAAS menyatakan ia akan mengemas kini nasihat perjalanan bagi membenarkan perjalanan ke tanah besar China dan seluruh Australia. Para pelawat dinasihatkan supaya memeriksa keperluan kemasukan yang ditetapkan oleh negara-negara itu dan mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya.

Para pengunjung yang memasuki negara ini menggunakan Pas Perjalanan Udara dijangka menerima keputusan ujian PCR mereka dalam masa 12 hingga 48 jam. Selepas mengambil ujian PCR, para pengunjung harus menggunakan pengangkutan privet, teksi atau khidmat kereta sewa privet dari lapangan terbang ke tempat penginapan yang diisytiharkan, menurut CAAS.

"Mereka harus asingkan diri di tempat penginapan sehingga keputusan ujian mereka disahkan negatif. Pemeriksaan akan dijalankan bagi memastikan ini dipatuhi. Setelah dimaklumkan keputusan ujian yang negatif, mereka dibenarkan meneruskan dengan kegiatan mereka di Singapura," tambah CAAS.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan