S'pura tarik balik permit kerja rakyat Korea Utara
Pemerintah menarik balik permit kerja semua warga Korea Utara di Singapura. Demikian menurut satu laporan yang diserahkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
SINGAPURA: Pemerintah menarik balik permit kerja semua warga Korea Utara di Singapura. Demikian menurut satu laporan yang diserahkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Laporan yang bertarikh 19 Mac itu menyatakan Singapura membatalkan pas kerja para warga Korea Utara yang meraih pendapatan di Singapura. Singapura juga tidak akan meluluskan sebarang permit kerja baru.
"Dengan itu, tidak ada lagi warga Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) yang mempunyai pas kerja di Singapura," menurut laporan itu.
Langkah ini sejajar dengan sekatan-sekatan yang dipertingkat dalam Ketetapan 2397 UNSC (2017), yang dikuatkuasakan sebagai respons terhadap ujian peluru berpandu balistik rentas benua yang dilancarkan Korea Utara pada 29 November tahun lalu.
Ketetapan itu dipersetujui kesemua anggota UNSC pada Disember tahun lalu, dan menyatakan bahawa semua hasil rakyat Korea Utara di luar negara "menyumbang kepada program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik DPRK".
Ia juga menetapkan agar "negara-negara anggota menghantar balik semua pekerja Korea Utara dalam tempoh tidak melebihi 24 bulan dari tarikh ketetapan itu dikuatkuasakan.
Kesemua negara anggota diberi tempoh 90 hari untuk memberi laporan tentang langkah-langkah yang diambil untuk melaksanakan peruntukan dalam ketetapan itu secara berkesan.
Laporan Singapura yang bertarikh 19 Mac itu menyatakan semua rakyat Korea Utara "tidak dibenarkan memasuki (Singapura)" dan mereka akan dikembalikan ke tempat terakhir mereka bertolak setelah menjalani pemeriksaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan.
"Semua warga Republik Rakyat Demokratik Korea yang ingin memasuki Singapura juga perlu mendapatkan visa," menurut laporan itu lagi.
Pada November tahun lalu, Singapura mengumumkan ia menggantung hubungan dagangan komersil dengan Korea Utara. Ini turut disebutkan dalam laporan 19 Mac.
"Pihak berkuasa Singapura giat mendampingi para peniaga dan entiti-entiti yang berkaitan untuk mengingatkan mereka tentang sekatan baru dan sedia ada yang dikenakan ke atas Republik Rakyat Demokratik Korea," seperti ditukil dalam laporan itu.
Laporan itu turut menyatakan pihak berkuasa yang relevan juga mengingatkan peniaga-peniaga yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan bersangkut kait dengan Korea Utara supaya mematuhi sekatan yang ditetapkan.
"Selain itu, pihak berkuasa Singapura sudah mengingatkan institusi-institusi kewangan tentang risiko Republik Rakyat Demokratik Korea menggunakan pihak lain sebagai wakil di syarikat dan syarikat Singapura untuk mengelak ketetapan Majlis Keselamatan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.