Images
  • spore
    Menteri Besar Johor Dato' Osman Sapian di kapal Pedoman. (Gambar-gambar: SPF)

S'pura tangguh perbincangan jawatankuasa menteri bersama setelah MB Johor ceroboh perairannya

SINGAPURA: Mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jan ditangguhkan. Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Sabtu (12 Jan).

"Pencerobohan oleh Menteri Besar Johor Dato' Osman Sapian di Perairan Wilayah Singapura di Tuas pada 9 Jan 2019 menyebabkan mesyuarat itu tidak dapat diteruskan. Oleh itu Singapura menyarankan untuk menangguhkan mesyuarat JMCIM, dan Malaysia bersetuju," menurut MFA dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, Menteri Besar Johor Osman Sapian mengunjungi kapal Pedoman, yang berada di perairan wilayah Singapura. Encik Osman turut memuat naik beberapa gambar di Facebook yang menunjukkan lawatannya ke kapal itu.

Kapal-kapal kerajaan Malaysia berulang kali mencerobohi perairan wilayah Singapura sejak beberapa bulan kebelakangan ini, setelah Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober, yang mencerobohi perairan wilayah Singapura di Tuas.

Singapura membantah peluasan had pelabuhan dan pergerakan kapal-kapal itu. Kementerian Pengangkutan Singapura turut meluaskan had pelabuhan Singapura dekat Tuas pada 6 Dis sebagai tindak balas.

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan turut berkata bahawa terdapat sehingga 14 pencerobohan oleh kapal-kapal Malaysia dalam masa dua minggu sebelum 6 Dis.

Minggu ini, keadaan yang tegang kelihatan reda sedang kedua-dua menteri luar negara bertemu.

Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia Saifuddin Abdullah berkata dalam satu kenyataan bersama pada Selasa bahawa kedua-dua negara itu bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja untuk mengkaji dan membincangkan undang-undang dan isu operasi berkaitan dengan pertikaian maritim, supaya dapat menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut. 

- CNA/NA/na

Top