Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, Sri Lanka meterai perjanjian dagangan bebas

Perjanjian itu akan mengukuhkan jalinan ekonomi dan memudahkan pengaliran dagangan antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jan 2018 06:42PM Dikemas Kini : 23 Jan 2018 10:42PM

COLOMBO: Singapura dan Sri Lanka menandatangani perjanjian dagangan bebas hari ini (23 Jan).

Perjanjian itu akan mengukuhkan jalinan ekonomi dan memudahkan pengaliran dagangan antara kedua-dua negara.

Perjanjian Dagangan Bebas Sri Lanka-Singapura (SLSFTA) itu ditandatangani oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran dan Menteri Pembangunan Strategi dan Perdagangan Antarabangsa Sri Lanka Malik Samarawickrama.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena menyaksikan pemeteraian perjanjian itu di Colombo.

Syarikat-syarikat Singapura dan Sri Lanka kini boleh menembusi pasaran antara satu sama lain dalam pelbagai sektor, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataannya.

MANFAAT UTAMA

Menggariskan manfaat-manfaat utama perjanjian itu, MTI menyatakan dalam tempoh 15 tahun mendatang, Sri Lanka akan menghapuskan tarif ke atas 80 peratus eksport Singapura.

Ini bermakna terdapat penjimatan cukai sekitar S$10 juta setiap tahun, tambahnya.

MTI menyatakan perjanjian itu juga mengandungi salah satu daripada syarat paling liberal bagi kriteria yang diperlukan untuk menentukan negara sumber sesuatu produk.

Ini bermakna lebih banyak eskport dari Singapura layak bagi tarif lebih rendah seperti yang dirundingkan.

Ini termasuk komitmen pertama perjanjian Sri Lanka berhubung pemerolehan pemerintah. Ini juga membolehkan syarikat-syarikat Singapura untuk membuat taruhan bagi projek-projek oleh beberapa entiti besar Sri Lanka serta perusahaan milik pemerintah.

Singapura dan Sri Lanka juga komited untuk memberikan akses lebih baik antara satu sama lain dalam pasaran khidmat, menurut MTI, sambil menambah perjanjian itu termasuk sektor-sektor yang berkepentingan bagi syarikat Singapura dalam khidmat kekaryawanan dan perdagangan serta sekitaran, binaan dan pelancongan.

SLSFTA juga meliputi pemindahan maklumat silang sempadan menerusi elektronik dan data. Menurut MTI ini akan memberi manfaat kepada firma-firma Singapura dan Sri Lanka memandangkan terdapat permintaan yang kian meningkat bagi khidmat e-niaga dan digital.

Terdapat juga perlindungan terhadap layanan diskriminasi berdasarkan kerakyatan dan perlindungan terhadap ekspropriasi.

Di bawah perjanjian itu, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura disenaraikan sebagai sebuah institusi di mana pertikaian antara pelabur dan sesebuah negara boleh didengar.

Menurut MTI, ini sejajar dengan objektif menonjolkan Singapura sebagai hab timbang tara.

PERJANJIAN PERTAMA SRI LANKA YANG MODEN & MENYELURUH

Perjanjian itu adalah perjanjian dagangan bebas pertama yang "moden dan menyeluruh" bagi Sri Lanka, menurut MTI. Ia "menjadikan Singapura sebagai rakan awal yang menyokong rancangan liberalisasi ekonomi dan pembangunan negara itu".

Sehingga hari ini, syarikat-syarikat Singapura sudah menceburi sektor-sektor di Sri Lanka, seperti binaan, prasarana, pengilangan, makanan dan khidmat.

Sejauh ini, terdapat sekitar 90 syarikat Singapura di Sri Lanka.

Menurut MTI, Sri Lanka adalah rakan dagangan ke-36 paling besar bagi Singapura pada 2017, dengan nilai dagangan dua hala mencecah S$2.7 bilion.

Nilai eksport Singapura ke Sri Lanka pula berjumlah S$2.5 bilion, manakala import dari Sri Lanka adalah S$178 juta.

Ekport utama Singapura ke Sri Lanka termasuk minyak mentah dan disel, emas bukan kewangan dan barangan kemas, manakala import utama dari Sri Lanka termasuk petrol, minyak, minyak wangi, aksesori pakaian dan tepung gandum. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan