Images

S'pura siap sedia tangani '5,000 atau lebih kes harian COVID-19': Lawrence Wong

SINGAPURA: Pemerintah sedang mempertingkatkan sumber untuk bersiap siaga bagi kemungkinan kes baru COVID-19 mencecah lebih 5,000 dalam sehari, yang mana sekitar 10 peratus atau 500 orang mungkin perlu dimasukkan ke hospital buat sekurang-kurangnya seminggu, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Isnin (27 Sep).

"Kami mahu bersedia menangani satu senario di mana jumlah kes melonjak sehingga 5,000 sehari atau mungkin lebih dari itu," kata Encik Wong, pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 dalam satu wawancara bersama Bloomberg Television.

Encik Wong menjawab pertanyaan oleh wartawan Haslinda Amin, yang bertanya apa yang diperlukan dilakukan supaya pembukaan semula ekonomi Singapura dapat diteruskan.

Menjelaskan bagaimana pasukan bertindak menetapkan parameter itu, Encik Wong berkata walaupun 0.2 peratus daripada kes positif COVID-19 memerlukan rawatan dalam unit jagaan rapi (ICU) sekitar 50 kali ganda jumlah pesakit memerlukan pemantauan rapi di hospital kerana mereka mungkin lebih berusia, mempunyai simptom serius atau lebih banyak penyakit lain.

Menurut Encik Wong: "Bagi menyediakan penjagaan segera kepada pesakit yang memerlukan rawatan ICU, sekitar 10 peratus individu yang terkena jangkitan perlu dimasukkan ke hospital kerana mereka merupakan pesakit yang diasingkan dan dikenal pasti oleh doktor sebagai individu yang lebih mudah terjejas."

Pada Ahad (26 Sep), Singapura melaporkan 1,939 kes baru COVID-19, iaitu jumlah tertinggi sejauh ini.

Jika kes harian di Singapura mencecah 5,000 jangkitan, ini bermakna 500 pesakit perlu tinggal di dalam hospital buat sekurang-kurangnya seminggu, kata Encik Wong.

"Ini memerlukan banyak katil hospital dan ini yang sedang kita cuba lakukan untuk menyokong sistem hospital kami dengan menyediakan pusat perubatan, kemudahan perubatan. Ia bukan setakat peralatan, kakitangan perubatan juga perlu menangani jumlah kes lebih tinggi," kata Encik Wong.

Sebaik sahaja protokol jagaan kesihatan menjadi stabil, Singapura boleh meneruskan rancangan pembukaan semula ekonominya, yang mana ia termasuk perjalanan ke luar negara dan pelonggaran sekatan dalam negeri.

Encik Wong menambah "jumlah kes akan tetap tinggi dan virus akan terus merebak" meskipun setelah kita mencapai tahap sedemikian.

"Ini yang dimaksudkan dengan meneruskan kehidupan dengan COVID-19 dan kita sedang mengorak langkah ke arahnya."

Beliau memberi komen berkenaan pada hari pertama langkah jarak selamat diperketatkan di bawah fasa penstabilan baru di kuat kuasakan. Mengumumkan langkah-langkah tersebut pada Jumaat lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, pengerusi bersama pasukan bertindak itu, juga bercakap tentang bagaimana Singapura perlu "menggunakan banyak sumber" untuk bersiap sedia bagi menghadapi keadaan dengan 5,000 kes baru setiap hari.

KEPUTUSAN UNTUK MENGETATKAN LANGKAH 'TIDAK DIAMBIL MUDAH'

Dalam temu baulnya itu, Encik Wong juga keputusan untuk melaksanakan langkah-langkah sekatan baru itu adalah "satu keputusan yang sangat sukar", namun ia perlu dilakukan.

"Kami tidak mengambilnya secara mudah. Kami sedar ia akan menimbulkan rasa hampa dan kemarahan dalam kalangan ramai orang yang mengalu-alukan pembukaan semula berterusan Singapura. Kami faham semua itu," katanya.

"Namun secara bersama, apabila kami melihat pada data dan bukti bersama dengan pakar perubatan kami, kami merasakan terdapat risiko tinggi bahawa sistem jagaan kesihatan kami akan dibebani, dan kami perlu melindungi sistem jagaan kesihatan," kata Encik Wong.

Apabila ditanya tentang rasa hampa yang dilahirkan rakyat Singapura dan warga asing serta sama ada beliau bimbang ini akan mengurangkan kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada, Encik Wong berkata Pemerintah sentiasa prihatin dan tidak memandang remeh terhadap kepercayaan rakyat.

"Kami mempertimbangkan keputusan ini dengan penuh teliti, namun kami tidak mempunyai pilihan kerana keadaan ini menjadi bebanan pada sistem jagaan kesihatan," katanya.

"Jadi, kami mohon pemahaman, sokongan dan kesabaran setiap penduduk dan berharap semua orang dapat bersatu teguh dengan pekerja jagaan kesihatan kami yang kini berdepan banyak tekanan, bertungkus lumus sepanjang beberapa minggu lalu bagi menangani lonjakan tinggi kes jangkitan."

Encik Wong menambah bahawa strategi Pemerintah kekal tidak berubah, kerana ia masih komited terhadap pembukaan semula ekonomi dan masyarakat secara bertahap-tahap di samping "tidak menambah beban terhadap hospital".

Unjuran rasmi pertumbuhan ekonomi iaitu antara 6 hingga 7 peratus bagi keseluruhan tahun 2021 masih boleh dicapai, katanya, apabila ditanya jika ramalan itu terjejas oleh langkah-langkah "fasa penstabilan" untuk mengekang penularan COVID-19.

"Jika terdapat senario kecemasan, dan ekonomi kembali mengalami kemelesatan, kami tanpa ragu-ragu akan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber fiskal untuk membantu pekerja dan perniagaan.

"Namun jika kita dapat meneruskan rancangan untuk membuka semula negara dan ekonomi bangkit kembali, saya rasa kita harus menjalani kehidupan mengikut kemampuan sebaik mungkin," kata Encik Wong.

- TODAY/HA/ha

Top