Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sedia sokong agihan 'pantas dan saksama' vaksin COVID-19 di rantau ini, kata PM Lee

Singapura bersedia untuk menyokong pengagihan "pantas dan saksama" vaksin COVID-19 di rantau ini, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Sidang Puncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-13 hari ini (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Nov 2021 09:12PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 11:37PM

SINGAPURA: Singapura bersedia untuk menyokong pengagihan "pantas dan saksama" vaksin COVID-19 di rantau ini, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Sidang Puncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-13 hari ini (26 Nov).

Ini melibatkan mempergiatkan lagi khidmat logistik rantaian sejuk Singapura dan mengembangkan keupayaan pengeluaran vaksinnya, dengan tiga kemudahan baru penghasilan vaksin dalam perancangan, kata PM Lee semasa pembentangan beliau mengenai sumbangan negara ini dalam sesi pleno kedua berhubung COVID-19 serta pemulihan dan pembangunan sosioekonomi.

Sidang puncak dwitahunan dua hari itu, yang bermula pada Khamis, diadakan melalui sidang video dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen selaku tuan rumah selepas acara dibatalkan tahun lepas akibat pandemik.

Singapura sudah menderma lebih 122,000 dos vaksin yang diperoleh di bawah skim COVAX kepada negara-negara jiran, kata PM Lee.

Kemudahan Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX) adalah usaha bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI) dan Perikatan Vaksin Global(GAVI).

“Singapura akan juga menyumbangkan peruntukan Dana Respons ASEAN COVID-19 kami kepada negara anggota ASEAN yang lain,” tambah Encik Lee.

“Selain memudahkan akses kepada vaksin, Singapura bekerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk menyokong negara-negara lain dalam menguruskan kesan pandemik itu.”

Negara-negara perlu belajar untuk hidup dengan COVID-19 secara "selamat dan mampan", kata PM Lee.

“Banyak yang boleh kita lakukan untuk membangunkan daya tahan bersama bagi mengatasi kesan sosial dan ekonomi pandemik itu. Rakan kerja ASEM berada dalam kedudukan yang baik untuk melakukan demikian,” tambahnya.

“Misalnya, kita boleh memudahkan perkongsian ilmu dan kepakaran, baik di ruang awam mahupun swasta. Kita juga harus bekerjasama rapat untuk memulihkan sepenuhnya rantaian bekalan, dan membuka semula perjalanan antarabangsa dengan cara yang selamat.”

Untuk berhubung semula dengan seluruh dunia, Singapura sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kerja untuk membangunkan "huraian digital dengan keupayaan silang operasi", seperti sijil kesihatan digital, untuk memudahkan perjalanan "lebih lancar dan selamat" bagi orang yang lengkap divaksin, kata PM Lee.

Beliau menambah bahawa sijil COVID-19 Singapura kini diiktiraf sebagai "setara" dengan sijil Kesatuan Eropah.

"PELUANG BARU" DI TENGAH-TENGAH PANDEMIK

Pandemik COVID-19 telah mewujudkan peluang baru, kata PM Lee dalam pembentangan beliau semasa sesi retreat sidang puncak berkenaan ASEM, isu antarabangsa dan serantau.

Pandemik koronavirus telah "menjadi pemangkin revolusi digital", membuka pasaran baru untuk perniagaan, tambah beliau.

“Ia menunjukkan kepada kita peri pentingnya aliran data terbuka di seluruh dunia, supaya kita boleh berkongsi idea dan memacu inovasi. Namun ia juga menimbulkan semula cabaran maklumat salah dan perlunya pendekatan baru untuk menangani isu ini,” tambahnya.

“Oleh itu, kita harus mengesahkan dan mengukuhkan sokongan kita terhadap hubungan berbilang hala. Singapura akan sentiasa menyokong undang-undang antarabangsa dan sistem berbilang hala.”

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan