Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, sebagai pengerusi baru ASEAN, alu-alukan sokongan AS

Sebagai pengerusi baru ASEAN pada tahun 2018, Singapura mengalu-alukan sokongan berterusan Amerika Syarikat bagi perkumpulan serantau itu, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (13 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, sebagai pengerusi baru ASEAN, alu-alukan sokongan AS

(Dari kiri) Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, Presiden AS Donald Trump, Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Ulang Tahun Sidang Puncak ASEAN-AS ke-40. (Gambar: AFP/POOL/MANAN VATSYAYANA)

Diterbitkan : 13 Nov 2017 09:13PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 09:35PM

MANILA: Sebagai pengerusi baru ASEAN pada tahun 2018, Singapura mengalu-alukan sokongan berterusan Amerika Syarikat bagi perkumpulan serantau itu, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (13 Nov).

Berucap di sidang puncak bagi memperingati 40 tahun hubungan dialog antara ASEAN dan Amerika Syarikat, Encik Lee memberitahu Presiden Amerika Donald Trump bahawa kehadirannya di sidang puncak itu memberi isyarat langkah positif ke arah pengembangan berterusan hubungan ASEAN-Amerika Syarikat di bawah pentadbirannya.

Encik Trump berada di Manila bagi sidang puncak ASEAN ke-31 dan beberapa acara lain, sebagai sebahagian daripada jelajah Asia pertamanya.

ASEAN adalah rakan dagangan keempat terbesar Amerika dan mewujudkan lebih setengah juta pekerjaan bagi warga Amerika melalui perdagangan barangan dan perkhidmatan, kata Encik Lee, sambil mendedahkan bahawa kumpulan serantau itu mempunyai "potensi pertumbuhan besar" bagi perniagaan-perniagaan Amerika.

ASEAN juga dijangka menjadi pasaran persendirian keempat terbesar di sini menjelang 2030.

"Dengan jumlah bilangan penduduk sebanyak lebih 600 juta, kelas pertengahan yang kian meningkat dan demografik golongan muda yang lebih peka mengenai teknologi dan menyesuaikan diri ke dalam ekonomi digital, ASEAN memberi harapan kepada ekonomi dunia," kata Encik Lee.

"Keutamaan kami adalah untuk meningkatkan ketahanan, daya inovasi dan mengukuhkan persepaduan ekonomi untuk mewujudkan skop bagi hubungan ASEAN-Amerika yang lebih kukuh, terutama sekali dalam bidang yang saling memberi manfaat seperti ekonomi digital, ketersambungan dan keselamatan siber."

Encik Lee turut berkata inisiatif-inisiatif Persetujuan Ekonomi Yang Diperluaskan antara ASEAN dan Amerika, apabila tamat kelak, akan menggalakkan "perdagangan dan iklim pelaburan adil dan saling memberi manfaat" antara kedua-dua pihak.

Rangka kerja itu diperkenalkan pada tahun 2012 bagi kerjasama ekonomi yang direka bentuk bagi memperluaskan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Amerika dan ASEAN, menjana peluang perniagaan dan pekerjaan baru bagi kesemua 11 negara itu.

Di perasmian sidang puncak itu, Encik Trump berkata Amerika "kekal komited kepada peranan utama ASEAN sebagai forum serantau bagi kerjasama menyeluruh". Beliau turut berkata kerjasama diplomatik memajukan keselamatan dan kemakmuran rakyat Amerika dan rakyat kesemua negara Indo-Pasifik.

"Hari ini, kita meraikan kejayaan besar anda, dan kita juga meninjau kerjasama ekonomi berlandaskan keadilan dan usaha menimbal balik," dedahnya.

Turut menyentuh mengenai isu yang mendominasi jelajah Asia Encik Trump, Encik Lee berkata Singapura menggesa Korea Utara untuk menghentikan provokasinya serta mematuhi tuntutan dan komitmen antarabangsa.

Singapura juga mengutuk keras provokasi oleh Korea Utara baru-baru ini, termasuk ujian nuklear pada bulan September, menurut Encik Lee.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan