Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sambut baik "langkah penting" meterai FTA dengan EU

Hasil rundingan perjanjian perdagangan bebas antara Singapura dengan Kesatuan Eropah (EU) sudah dibentangkan kepada Majlis Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura sambut baik "langkah penting" meterai FTA dengan EU

Bendera di sebuah tingkat di bangunan Majlis Kesatuan Eropah. (Gambar: REUTERS/Yves Herman/Files)

Diterbitkan : 20 Apr 2018 06:32PM Dikemas Kini : 20 Apr 2018 06:36PM

SINGAPURA: Hasil rundingan perjanjian perdagangan bebas antara Singapura dengan Kesatuan Eropah (EU) sudah dibentangkan kepada Majlis Eropah.

Ini adalah satu perkembangan yang hari ini (20 Apr) disifatkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebagai "langkah penting" dalam proses pemeteraian perjanjian perdagangan.

Ia juga menunjukkan komitmen oleh Suruhanjaya Eropah kepada pelaksanakaan perjanjian perdagangan bebas Kesatuan Eropah-Singapura (EUSFTA), yang akan dapat dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat EU dan Singapura, menurut seorang jurucakap, menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Kami menyambut baik berita dari Kesatuan Eropah bahawa pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Singapura menunjukkan kemajuan," menurut MTI.

Pada Rabu lalu (18 Apr), Suruhanjaya Eropah membentangkan hasil rundingan perjanjian perdagangan dan pelaburan dengan Singapura kepada 28 negara anggota EU.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh delegasi EU kepada Singapura, ia disifatkan sebagai "langkah penting" ke arah menandatangani dan memuktamadkan EUSTFA.

Perjanjian itu sekarang perlu diluluskan oleh Majlis Menteri-Menteri dan dimeterai oleh Parlimen Eropah.

Tujuannya adalah supaya EUSFTA dikuatkuasakan sebelum mandat Suruhanjaya Eropah berakhir pada tahun 2019, menurut kenyataan tersebut.

Memandangkan EUSFTA adalah perjanjian pertama antara EU dengan ekonomi Asia Tenggara, Duta EU ke Singapura Barbara Plinkert menyifatkan perjanjian tersebut sebagai "batu loncatan ke arah lebih banyak kerjasama" antara EU dengan Asia Tenggara.

Singapura merupakan gerbang bagi syarikat-syarikat Eropah di rantau ini, kata beliau.

Lebih 10,000 syarikat EU sudah ditubuhkan di Singapura dan dijadikan sebagai hab untuk berkhidmat di rantau Pasifik.

Singapura juga merupakan destinasi utama bagi pelaburan Eropah di Asia Tenggara.

"Dengan perjanjian ini, EU sudah mengambil langkah penentu untuk menetapkan peraturan serta piawai tinggi bagi rantau Asia Tenggara, yang penting dan sedang tumbuh dengan pesat," kata Cik Plinkert.

Dengan rundingan itu dimuktamadkan pada tahun 2014, EUSFTA menyasarkan untuk menyediakan peluang buat para pelanggan dan penghasil dengan menghapuskan cukai kastam bagi barangan yang layak.

Para penyedia khidmat, pelabur dan syarikat juga akan diberikan perlindungan lebih baik serta akses kepada pasaran antara satu sama lain, termasuk pemerolehan ruang awam.

Singapura adalah rakan komersil terbesar EU dalam ASEAN, menyumbang kepada hampir sepertiga perdagangan barangan dan perkhidmatan EU-ASEAN dan sekitar dua pertiga pelaburan antara kedua-dua rantau.

Sementara itu, EU adalah pelabur terbesar Singapura dan juga rakan dagangan ketiga terbesar.

Pada tahun 2017, perdagangan dua hala tumbuh 5.6 peratus tahun ke tahun kepada S$98.4 bilion, menjadikannya sekitar 10 peratus daripada keseluruhan dagangan Singapura. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan