Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sahkan kes pertama 'monkeypox'; pesakit dan 23 orang terdekat dikuarantin

Satu kes jangkitan monkeypox (cacar monyet) dari luar negara disahkan di Singapura. Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis mendedahkan bahawa pesakit adalah seorang warga Nigeria berusia 38 tahun yang tiba di sini pada 28 April dan dikesan menghidapi virus tersebut pada 8 Mei.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura sahkan kes pertama 'monkeypox'; pesakit dan 23 orang terdekat dikuarantin

Gambar fail seorang pesakit cacar monyet. (Gambar: Perpustakaan Imej Kesihatan Awam CDC)

Diterbitkan : 09 May 2019 10:02PM Dikemas Kini : 10 May 2019 12:53AM

SINGAPURA: Satu kes jangkitan monkeypox (cacar monyet) dari luar negara disahkan di Singapura.

Dalam kenyataan media pada Khamis (9 Mei), Kementerian Kesihatan (MOH) mendedahkan bahawa pesakit adalah seorang warga Nigeria berusia 38 tahun yang tiba di sini pada 28 April dan dikesan menghidapi virus tersebut pada 8 Mei.

Menurut MOH lagi, pesakit dalam keadaan stabil dalam wad berasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Menjawab pertanyaan CNA, MOH mengesahkan ini kes pertama jangkitan cacar monyet di Singapura.

Cacar monyet atau monkeypox adalah penyakit jarang berlaku akibat jangkitan virus dari haiwan yang kebanyakannya berasal dari tengah dan barat Afrika. Ia berlaku apabila seorang manusia berhubungan rapat dengan haiwan pembawa virus seperti rodensia.

"Pesakit melaporkan bahawa sebelum ketibaan di Singapura, beliau menghadiri majlis perkahwinan di Nigeria. Di situ beliau mungkin memakan daging haiwan liar yang mungkin punca jangkitan cacar monyet," menurut MOH.

Jangkitan antara manusia boleh berlaku akibat hubungan langsung dengan cecair dari saluran pernafasan, tersentuh luka orang yang membawa virus atau objek yang dijangkiti oleh cecair tubuh pesakit.

Tanda-tanda jangkitan termasuk demam, rasa sengal, nodus limfa yang bengkak dan kurap. Ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pneumonia atau menyebabkan maut bagi sesetengah kes.

Lelaki tersebut menginap di 21 Lorong 8 Geylang, yang merupakan alamat Hotel 81 Orchid, sebelum dimasukkan ke hospital. Beliau juga menghadiri sebuah bengkel di 3 Church Street pada 29 dan 30 April.

Pada 30 April, beliau menunjukkan tanda-tanda demam, otot sengal, seram sejuk dan ruam pada kulit. Menurut MOH lagi, lelaki itu pada kebanyakan masa tinggal di dalam biliknya antara 1 hingga 7 Mei.

Beliau digegaskan ke Hospital Tan Tock Seng dengan ambulans pada 7 Mei dan dirujuk ke NCID pada hari yang sama.

KESAN RANGKAIAN HUBUNGAN

MOH menyatakan pihaknya mengesan balik dan mengenal pasti 23 orang yang berhubung rapat dengan pesakit.

Mereka termasuk 18 orang yang menghadiri bengkel yang sama, seorang kakitangan tempat bengkel diadakan dan empat pekerja hotel.

"Hubungan langsung yang rapat dengan pesakit dinilai oleh NCID dan ditawarkan vaksin yang boleh mengelakkan jangkitan atau mengurangkan tanda-tanda," menurut MOH.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka dikuarintin dan dipantau selama 21 hari bermula hari pertama mereka bertemu pesakit."

MOH memberitahu CNA tiada seorang dari senarai itu menunjukkan tanda-tanda jangkitan.

RISIKO PENULARAN DI S'PURA ADALAH RENDAH: PROF

Risiko penularan cacar monyet dalam kalangan masyarakat setempat adalah rendah, menurut pengarah eksekutif NCID Profesor Leo Yee Sin.

"Hingga hari ini, tiada bukti menunjukkan jangkitan sesama manusia sahaja mencukupi untuk mengekalkan jangkitan di kalangan populasi manusia," kata Prof Leo.

"Secara purata, setiap orang yang dijangkit akan menyampaikannya kepada kurang daripada seorang yang lain. Jangkitan ini lebih sukar menular berbanding flu biasa. Rangkaian jangkitan boleh diputuskan menerusi pengesanan dan kuarantin individu yang berhubung rapat."

MOH menambah bahawa penyakit ini selalunya pulih sendiri, dengan kebanyakan pesakit sembuh dalam masa dua atau tiga minggu.

Selain 23 orang yang dikuarantin, semua pihak yang berisiko rendah dijangkiti juga dipantau secara aktif. mereka akan dihubungi dua kali sehari untuk memantau keadaan kesihatan mereka, menurut MOH.

Seorang peserta bengkel sama yang sudah meninggalkan Singapura pada 5 Mei sebelum pesakit didiagnos dengan jangkitan cacar monyet, memberitahu MOH bahawa beliau masih sihat tanpa sebarang tanda jangkitan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH menyatakan pihaknya sudah memaklumkan penguasa kesihatan di negara asal peserta itu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan