Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura rancang beli empat jet pejuang F-35

Singapura akan membuat tempahan awal bagi empat jet pejuang F-35 untuk diuji secara menyeluruh, dengan pilihan menempah lapan lagi pesawat seumpamanya. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura rancang beli empat jet pejuang F-35

Jet pejuang F-35. (Gambar fail: Lockheed Martin/Reuters)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 02:44PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 03:33PM

SINGAPURA: Singapura akan membuat tempahan awal bagi empat jet pejuang F-35 untuk diuji secara menyeluruh, dengan pilihan menempah lapan lagi pesawat seumpamanya. Demikian diumumkan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MINDEF hari ini (1 Mar).

Dr Ng berkata MINDEF akan mengemukakan satu Surat Permohonan (LOR) kepada Amerika Syarikat berkaitan pembelian itu.

"Kami akan mengeluarkan LOR bagi pemerolehan awal empat F-35, dengan pilihan untuk menempah lapan lagi jet pejuang sekiranya kami memutuskan untuk meneruskan pembelian tersebut," kata Dr Ng. "Seperti yang ditetapkan undang-undang Amerika Syarikat bagi penjualan peralatan ketenteraan asing, Kongres Amerika harus meluluskan penjualan F-35."

Harga bagi jet-jet itu belum lagi dimuktamadkan walaupun Dr Ng berkata jumlah keseluruhan bagi memiliki jet-jet F-35, termasuk kos penyenggaraan sepanjang jet digunakan, setanding dengan program F-15SG.

"Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) mendapati ini adalah masa yang terbaik untuk menyampaikan permohonan Singapura," kata Dr Ng, sambil menarik perhatian bahawa harga F-35 "terus menyusut" kerana "permintaan memberangsangkan" dari Amerika Syarikat dan 10 negara lain.

"Harga unit bagi model F-35 buat masa ini adalah antara AS$90 juta (S$122 juta) dengan AS$115 juta (S$155 juta) bagi setiap pesawat, iaitu setanding dengan harga pesawat F-15SG.

Menurut pengeluarnya Lockheed Martin, F-35B (pesawat yang mampu berlepas dan mendarat tegak) - berharga AS$115.5 juta (S$156 juta) dan Singapura berminat membelinya.

Seorang pakar strategi ketenteraan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Encik Bernard Loo, dalam komentarnya pada 2009 menyatakan bahawa kontrak asal bagi 12 pesawat F-15SG melibatkan kos AS$1 bilion (S$1.35 bilion), meskipun ia dibeli sebagai satu pakej termasuk latihan, avionik dan sistem tempur lain.

"MINDEF akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk mengoptimumkan kos operasi dan penyenggaraan," tambah Dr Ng.

Pada Januari, MINDEF menyatakan ia mengenal pasti F-35 sebagai "pengganti paling sesuai" bagi pesawat-pesawat lama F-16, menyusuli satu penilaian teknikal yang dilakukan selama lebih lima tahun.

Dr Ng dalam catatan Facebooknya menyatakan bahawa MINDEF akan membincangkan perinciannya dengan pihak-pihak relevan di Amerika Syarikat untuk "mempercepatkan prosesnya" - satu fasa yang boleh memakan masa antara sembilan sehingga 12 bulan. Butiran yang akan dibincangkan termasuk tentang harga, jenis dan isu-isu logistik.

Beliau selanjutnya berkata rancangan Singapura untuk membeli F-35 mendapat sokongan Pentadbiran dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan