Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura perluas skim VTL kepada Australia & Switzerland

Singapura akan memperluaskan skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) yang bebas kuarantin kepada Australia dan Switzerland mulai 8 November. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Oct 2021 06:52PM Dikemas Kini : 26 Oct 2021 08:40PM

SINGAPURA: Singapura akan memperluaskan skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) yang bebas kuarantin kepada Australia dan Switzerland mulai 8 November.

Untuk Australia, bagaimanapun, perjalanan dua hala hanya bagi rakyat dan penduduk tetap Australia serta anggota keluarga terdekat mereka yang lengkap divaksin, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Selasa (26 Okt).

"VTL bagi Australia akan membenarkan pelawat divaksin sepenuhnya dari Australia untuk memasuki Singapura tanpa kuarantin bagi semua tujuan perjalanan," menurut CAAS.

"Kami juga menjangkakan pemegang pas pelajar dan perniagaan dari Singapura akan dapat memasuki Australia setelah Australia memuktamadkan aturan untuk memasuki negara itu. Pelawat lain dari Singapura tidak boleh melakukan perjalanan ke Australia sehingga peringkat seterusnya."

Di bawah skim laluan perjalanan penumpang divaksin, pelawat mesti berada di sekurang-kurangnya satu negara VTL sepanjang 14 hari sebelum berangkat ke Singapura.

Mereka mesti mengambil dua ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) - sebelum berlepas dan sewaktu tiba di Lapangan Terbang Changi.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksin dibenarkan untuk melakukan perjalanan di bawah skim VTL selagi mereka ditemani seorang pelawat yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Singapura kini mengumumkan VTL bersama 13 negara.

CAAS menyatakan pelaksanaan skim itu yang berjaya memberinya "pengalaman dan keyakinan" untuk memperluaskannya kepada lebih banyak negara.

"Kami akan terus berbuat demikian dengan berhati-hati dan langkah demi langkah tanpa mengkompromikan kesihatan awam," tambahnya.

Setakat Isnin, lebih 15,000 pelawat sudah diberikan pas di bawah skim VTL, dengan sekitar 5,000 daripada mereka sudahpun memasuki Singapura sejauh ini.

Dengan VTL kini ditawarkan kepada Australia dan Switzerland, kuota bagi mereka yang memasuki Singapura di bawah skim VTL akan dinaikkan dari 3,000 kepada 4,000 pelawat sehari, menurut CAAS.

"Kami akan memantau kemajuan skim itu dengan rapi sebelum memutuskan untuk menaikkan lagi kapasiti," tambahnya.

CAAS menarik perhatian kedua-dua Australia dan Switzerland tergolong di bawah Kategori II langkah sempadan Kementerian Kesihatan (MOH), dengan kadar insiden COVID-19 yang serupa atau lebih rendah berbanding Singapura dan negara-negara lain di bawah skim VTL.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengumumkan minggu lalu bahawa Singapura dan Australia berada di rundingan peringkat terakhir untuk menetapkan aturan perjalanan, dengan rancangan tersebut berkemungkinan ditetapkan "dalam tempoh minggu depan atau seterusnya".

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan skim itu pada awalnya akan ditumpukan kepada pelajar dan pelawat perniagaan yang sudah divaksin sebelum dibuka kepada pelancong.

Pada Selasa, CAAS menyatakan Australian adalah dalam kalangan 10 pasaran utama Singapura bagi ketibaan penumpang tahunan di Lapangan Terbang Changi, membentuk sekitar empat peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan penumpang pada 2019.

Lebih 50,000 rakyat Singapura menetap di Australia, menurut CAAS, sambil menambah sekitar 25,000 warga Australia menetap di Singapura.

Berhubung komen Encik Morrison bahawa Australia akan dibuka semula kepada lebih ramai pelawat dari Singapura, CAAS menyatakan Canberra akan mengeluarkan lebih banyak butiran kelak.

Bagi Switzerland, ia tersenarai sebagai antara rakan kongsi perdagangan dan pelaburan utama Singapura, dengan sekitar 3,000 ekspatriat rakyat Swtizerland tinggal di Singapura, menurut CAAS.

Semua pelawat dari Singapura buat masa ini dibenarkan memasuki Switzerland dan tidak dikehendaki menjalani kuarantin kendiri sejurus tiba di negara itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan