S'pura perlu "terus perhebat usaha di tengah-tengah persaingan sengit", kata DPM Heng
Singapura perlu "berlari lebih pantas" dan merubah sistemnya untuk terus kekal relevan kepada dunia, kata Pemangku Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (30 Sep).
SINGAPURA: Singapura perlu "berlari lebih pantas" dan merubah sistemnya untuk terus kekal relevan kepada dunia, kata Pemangku Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (30 Sep).
"Jika Singapura tidak lagi dapat membuat sumbangan kepada dunia, kita menjadi tidak lagi relevan, dan tiada sesiapa akan berminat dengan penakatan kita, atau kejayaan kita," kata Encik Heng pada hari pertama Persidangan Bicentennial Singapura, yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS).
Beliau turut menjawab soalan sama ada kedudukan Singapura akan menjadi lemah di persada antarabangsa - seperti yang dialami sepanjang sejarah selama 700 tahun - di sebuah dialog yang dikendalikan oleh Duta Kelana Profesor Chan Heng Chee.
"Adakah anda melihat suatu masa di mana Singapura akan dipinggirkan lagi... dan apa yang harus kita lakukan?" tanya Profesor Chan, yang juga pengerusi Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar-Bandar Inovatif di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, turut menekankan bahawa adalah penting untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Beliau juga menarik perhatian kepada sejarah di mana beberapa negara berpecah belah disebabkan rakyat yang tidak bersatu padu.
"Semangat perpaduan itu penting, perasaan bahawa saya dan anda adalah rakyat Singapura dan kita mahu Singapura terus maju," kata beliau.
Ia adalah antara pelbagai isu yang ditangani Encik Heng sepanjang dialog selama sejam yang dihadiri hampir 900 orang.
"SUARA YANG DIYAKINI"
Menjawab pertanyaan berhubung sama ada inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China akan menimbulkan ancaman kepada kedudukan Singapura, Encik Heng berkata Singapura adalah penyokong kuat bagi infrastruktur dan ketersambungan lebih baik itu, namun, Singapura tidak boleh berpeluk tubuh sedang negara-negara lain di rantau ini terus membangun.
"Kami ingin bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kita untuk melihat bagaimana kita dapat membangun bersama. Apa yang dimaksudkan ialah Singapura perlu berubah dan berlari dengan lebih pantas," kata beliau.
Encik Heng juga diajukan soalan tentang apakah peranan yang harus dimainkan Singapura dalam perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Menurut beliau, ketegangan antara kedua-dua negara itu kini mengenai isu-isu lebih besar - seperti nilai dan sistem yang bertentangan.
Di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan China, Singapura berharap dapat menjadi "suara yang diyakini", tambah beliau.
"Kedua-dua pihak sebenarnya boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menangani isu-isu global yang lebih besar. Mereka berdua harus memainkan peranan kepimpinan, bagi memastikan sistem berbilang pihak terus bergerak,"
"Apa yang boleh Singapura lakukan? Kami hanya boleh bekerja dengan negara-negara yang memegang pandangan yang sama dengan kita," kata Encik Heng.
Menjawab soalan sama ada kepimpinan generasi keempat Singapura akan meneruskan trend mengembangkan program-program sosial yang dilihat pada 2011, Encik Heng berkata dasar-dasar sosial dan ekonomi Singapura berkait rapat.
"Jika ekonomi tidak berkembang, anda tidak akan mempunyai sumber untuk membantu rakyat... tidak kira betapa baiknya niat anda."
"Bagi kebanyakan individu, mempunyai pekerjaan adalah usaha terbaik yang boleh kami lakukan untuk semua rakyat. Oleh itu, dasar-dasar Singapura berhubung daya kerja dan bukan kebajikan, adalah aspek yang paling penting," tegas Encik Heng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.