Images
  • tembakau rokok
    Kotak rokok yang dicadangkan tanpa corak (Gambar: MOH)

S'pura perkenal bungkusan rokok dengan gambar amaran kesihatan lebih besar bagi produk tembakau

SINGAPURA: Semua produk tembakau di Singapura akan dijual dalam bungkusan yang memaparkan amaran kesihatan lebih besar dan mengerikan, meliputi sekurang-kurangnya 75 peratus bungkusan.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Rabu (31 Okt) bahawa bungkusan yang diselaraskan bagi produk-produk sedemikian akan dijual di sini, sebagai sebahagian usaha menjadikan Singapura sebuah masyarakat bebas tembakau.

Langkah-langkah yang dicadangkan merangkumi semua produk tembakau termasuk rokok, rokok gulung dan cerut, menurut MOH.

Ia merancang untuk membentangkan kepada parlimen pindaan terhadap rang undang-undang sedia ada pada tahun depan. Jika diluluskan, perubahan itu mungkin berkuatkuasa bermula 2020.

Satu tempoh peralihan disediakan - antara waktu pengilang harus menghasilkan kotak diseleraskan dan peruncit harus menjual produk semua produk dalam kotak yang diselaraskan itu supaya bekalan lama dapat habis dijual dan meringankan beban pelaksanaan langkah itu ke atas perusahaan tembakau, menurut MOH lagi.

"Tembakau adalah punca utama masalah kesihatan dan kematian di Singapura," menurut kenyataan media MOH.

"Lebih 2,000 warga Singapura mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan dengan rokok.
Tabiat merokok setiap hari di kalangan warga Singapura berubah-ubah sejak 2004, tanpa trend menurun yang kekal," tambah kementerian tersebut.

TIADA LOGO, WARNA

Di bawah saranan terbaru itu, semua logo, warna, imej jenama dan maklumat promosi akan ditiadakan daripada bungkusan produk tembakau, yang hanya boleh dijual dalam warna yang diselaraskan dan tidak berkilat.

Nama jenama dan produk dibenarkan tetapi dalam warna dan jenis tulisan yang diselaraskan.

Produk-produk tembakau juga harus memaparkan amaran kesihatan lebih besar dan mengerikan yang meliputi 75 peratus bungkusan, berbanding 50 peratus sekarang.

Australia, Perancis dan United Kingdom sudah memperkenalkan langkah-langkah serupa.

“Menurut penilaian Pemerintah, perubahan dalam pengambilan tembakau boleh berubah jika produk dilihat seperti kurang menarik," tambah MOH.

LENGKAPI LANGKAH SEDIA ADA

MOH menyatakan perubahan yang disarankan adalah hasil semakan meluas di peringkat setempat dan antarabanga serta tiga pusingan maklum balas awam. Ia menekankan perubahan itu perlu demi "mencapai penurunan yang mampan dalam kadar merokok" di Singapura.

Perubahan yang dicadangkan juga melengkapi langkah pengawalan tembakau sedia ada di Singapura dan mengelakkan mereka yang tidak merokok daripada memulakan tabiat itu. MOH menambah, ia juga akan mengalak perokok supaya mengamalkan gaya hidup bebas tembakau.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengucapkan tahniah kepada Singapura atas keputusannya memperkenalkan bungkusan bahan tembakau yang diselaraskan.

WHO mengatakan langkah itu mengesahkan kedudukan Singapura sebagai teraju global dalam pengawalan bahan tembakau dan perlindungan kesihatan. 

- CNA/TQ/tq

Top