S'pura paling unggul di dunia dari segi kesihatan, pendidikan
Singapura mengungguli Indeks Modal Insan Global yang dibangunkan Bank Dunia. Indeks itu mengukur tahap kesihatan, pendidikan dan jangka hayat rakyat di 157 negara anggota bank Dunia.
SINGAPURA: Singapura mengungguli Indeks Modal Insan Global yang dibangunkan Bank Dunia. Indeks itu mengukur tahap kesihatan, pendidikan dan jangka hayat rakyat di 157 negara anggota bank Dunia.
Ia didedahkan hari ini (11 Okt) di mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa di pulau Bali, Indonesia.
Indeks itu turut menilai daya penghasilan rakyat dan pendapatan yang mungkin diraih pada masa depan, selain potensi pertumbuhan ekonomi negara.
Selain Singapura, tiga negara Asia lain turut menduduki lima tempat teratas dalam senarai itu, yakni Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong.
Indeks itu turut mendapati Singapura mencatat potensi daya penghasilan sebanyak 88 peratus.
Ini bermakna setiap bayi yang dilahirkan di Singapura hari ini boleh mencapai daya penghasilan 88 peratus apabila dewasa nanti sekiranya dia menerima pendidikan dan jagaan kesihatan yang sempurna.
Di peringkat sejagat, puratanya adalah 56 peratus sementara Amerika Syarikat yang menduduki tempat ke-24 dalam senarai itu mencatat 76 peratus.
Negara-negara Afrika pula menunjukkan potensi daya penghasilan paling lemah dengan Chad dan Selatan Sudan masing-masing menduduki dua tempat terbawah.
Indeks itu dibangunkan oleh sistem terbaru Bank Dunia yang menyenaraikan negara-negara itu berdasarkan kejayaan mereka dalam membangunkan modal insan.
Ia bertujuan menggesa pihak pemerintah agar melaburkan secara lebih berkesan dalam bidang pendidikan dan jagaan kesihatan.
Bank itu juga memberi amaran mengenai gelombang automasi dan kecerdasan buatan yang mungkin mengancam pekerjaan berkemahiran rendah pada tahun-tahun mendatang.
Keadaan itu akan menyukarkan golongan kurang berpendidikan dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.