Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'optimis' buka sempadan darat dengan M'sia jelang hujung Nov: Gan Kim Yong

Pihak berkuasa sedang berusaha untuk membuka sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia menjelang hujung November, namun butirannya masih diusahakan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Sabtu (20 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura 'optimis' buka sempadan darat dengan M'sia jelang hujung Nov: Gan Kim Yong

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Nov 2021 04:26PM Dikemas Kini : 20 Nov 2021 04:27PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang berusaha untuk membuka sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia menjelang hujung November, namun butirannya masih diusahakan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Sabtu (20 Nov).

Menjawab pertanyaan wartawan di sidang media secara maya, Encik Gan yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, berkata pihak berkuasa Singapura dan Malaysia sedang "bekerjasama rapat" untuk memuktamadkan butiran operasi.

Pada Khamis (18 Nov), media Malaysia melaporkan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad sebagai berkata bahawa Laluan Perjalanan Penumpang Divaksin (VTL) melalui jalan darat antara Singapura dengan Malaysia akan dibuka pada 29 November, iaitu pada hari yang sama VTL udara antara Kuala Lumpur dengan Singapura akan dibuka.

"Saya optimis kami dapat ... melancarkan laluan VTL darat pada sekitar hujung bulan ini, dekat dengan tarikh pembukaan laluan VTL udara. Kemungkinan juga kita dapat melakukannya pada hari yang sama," kata Encik Gan sambil menambah bahawa beliau berharap dapat berkongsi butirannya pada minggu depan.

Namun, beliau berkata keadaannya mungkin tidak akan kembali kepada keadaan seperti sebelum pandemik apabila beratus-ratus ribu orang menyeberangi sempadan Singapura dan Johor Bahru setiap hari.

"Kami akan mulakan dengan jumlah yang kecil, dengan had kuota tertentu," katanya.

"Keutamaan diberikan kepada keluarga yang sudah lama terpisah sejak permulaan COVID-19... untuk bersatu semula dengan keluarga mereka."

Beliau menambah bahawa fasa pertama laluan VTL darat akan memberi tunpuan kepada kumpulan itu sebelum diluaskan kepada lebih ramai orang untuk melakukan perjalanan.

"Saya rasa adalah penting bagi kami memastikan bahawa kita dapat melakukannya dengan selamat, melalui ujian dan seterusnya memastikan laluan VTL darat itu dapat diteruskan untuk membolehkan rakyat dan penduduk tetap dari kedua-dua negara melakukan perjalanan dengan selamat," tambah Encik Gan.

Menjawab pertanyaan tentang langkah sempadan Singapura amnya, Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata langkah-langkah akan terus disemak dan diperhalusi.

Menurutnya, Singapura melihat pada pelbagai petunjuk untuk menyenaraikan negara-negara mengikut status risiko dan menyemak sistem perjalanannya setiap dua minggu.

Encik Wong menambah bahawa Singapura kini mempunyai kadar jangkitan yang agak tinggi berbanding kebanyakan negara yang lain.

Justeru, tumpuannya bukan hanya pada kadar jangkitan sahaja tetapi juga memantau sebarang varian baru yang membimbangkan, kata Encik Wong.

"Sedang kami beralih ke situasi lebih endemik, seperti juga negara-negara lain, tumpuan kami bukan hanya pada kadar jangkitan sahaja, tetapi juga untuk memantau bagi varian-varian baru, terutama sekali varian membimbangkan yang mungkin lebih bertahan terhadap vaksin."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan