Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura-New Zealand tingkatkan kerjasama dalam perdagangan, pertahanan dan kajian

Singapura dan New Zealand hari ini (17 Mei) memeterai perisytiharan bersama untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang utama sebagai menandakan hubungan diplomatik dua hala yang terjalin sejak 54 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura-New Zealand tingkatkan kerjasama dalam perdagangan, pertahanan dan kajian

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Istana semasa lawatan rasmi pertamanya ke Singapura pada 17 Mei 2019. (Gambar: Nuria Ling)

Diterbitkan : 17 May 2019 02:15PM Dikemas Kini : 17 May 2019 02:17PM

SINGAPURA: Singapura dan New Zealand hari ini (17 Mei) memeterai perisytiharan bersama untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang utama sebagai menandakan hubungan diplomatik dua hala yang terjalin sejak 54 tahun lalu.

Kedua-dua negara secara rasmi menubuhkan Perkongsian Dipertingkat untuk memacu kerjasama dalam perdagangan dan ekonomi, pertahanan dan keselamatan, sains, teknologi dan inovasi serta hubungan antara rakyat satu sama lain.

Perisytiharan bersama itu ditandatangani di Istana oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari New Zealand Cik Jacinda Ardern, yang sedang melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura atas undangan Encik Lee.

Sebelum acara itu, Cik Ardern disambut mesra Presiden Halimah Yacob di Istana.

Beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan PM Lee.

Sejajar dengan perisytiharan Perkongsian Dipertingkat, lima perjanjian khusus dan MOU ditandatangani.

Ia termasuk mengemas kini perjanjian perdagangan bebas hampir 20 tahun antara kedua-dua negara supaya ia sejajar dengan keadaan semasa.

Misalnya, prosedur kastam akan diperkemas untuk mengurangkan masa dan kos.

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Dagangan S Iswaran dan Menteri Negara Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O'Connor.

Singapura dan New Zealand mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dengan jumlah dagangan dua hala mencecah $4.1 bilion pada 2018. Jumlah itu satu peningkatan 12.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Singapura juga merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar New Zealand pada 2018.

Selain itu, terdapat juga langkah baru untuk memudahkan e-dagang selain perjanjian lain yang bertujuan meningkatkan kerjasama dalam sains dan teknologi - bermula dengan penyelidikan bersama bagi bidang makanan serta sains data masa depan.

Singapura dan New Zealand juga akan bekerjasama lebih rapat dalam bidang keselamatan siber untuk berkongsi amalan-amalan terbaik serta membina keupayaan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan