Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura mungkin timbangkan e-dagang untuk pelbagaikan asas cukai, kata Indranee

Pemerintah Singapura sedang menimbangkan untuk menaikkan levi ke atas e-dagang bagi memperluaskan asas cukai, kata Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Undang-Undang) Indranee Rajah semasa dipetik dalam laporan Bloomberg yang diterbitkan hari ini (22 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura mungkin timbangkan e-dagang untuk pelbagaikan asas cukai, kata Indranee

Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kewangan Indranee Rajah.

Diterbitkan : 22 Nov 2017 07:12PM Dikemas Kini : 22 Nov 2017 07:19PM

SINGAPURA: Pemerintah Singapura sedang menimbangkan untuk menaikkan levi ke atas e-dagang bagi memperluaskan asas cukai, kata Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Undang-Undang) Indranee Rajah semasa dipetik dalam laporan Bloomberg yang diterbitkan hari ini (22 Nov).

Dalam wawancara itu, Cik Indranee menyifatkan e-dagang sebagai satu bidang yang akan membolehkan Singapura untuk mempelbagaikan asas cukainya.

"Anda boleh bayangkan, 20 tahun dari sekarang, cara orang ramai membeli sesuatu akan jauh berbeza dan pada masa itu platform online akan menjadi tunjangnya, oleh itu jika ia bukan sebahagian daripada rejim cukai, maka akan terdapat banyak kelemahan kelak," katanya. Perubahan ini sepatutnya dicapai "mungkin semalam", tambah beliau.

Buat masa ini, para pelanggan online di Singapura secara umumnya tidak dikenakan cukai bagi pembelian mereka, selagi tempahan mereka tidak melebihi S$400, katanya.

Proses di mana Singapura mungkin mengenakan cukai ke atas tempahan lebih kecil mungkin rumit, dengan negara-negara lain seperti Thailand misalnya, menimbangkan secara terbuka levi sedemikian dan menghadapi tentangan, menurut laporan Bloomberg.

"Memandangkan ia satu era baru dan anda ingin memantau negara-negara lain yang sudahpun melaksanakannya terlebih dahulu dan mempelajari daripada mereka, ia bukan sesuatu yang akan dilakukan secara terburu-buru tetapi ia juga bukan sesuatu yang kami ingin melambat-lambatkan," kata Cik Indranee.

Komen Cik Indranee itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong membayangkan pada Ahad lalu (19 Nov) bahawa Singapura harus bersedia untuk menaikkan cukai kerana perbelanjaan pemerintah kian meningkat dan akan terus meningkat.

Cik Indranee berkata pemerintah akan memastikan sistem cukai Singapura adalah berdasarkan prestasi ekonomi yang "kukuh" dan berpegang kepada prinsip bahawa golongan berpendapatan tinggi akan menyumbang lebih daripada yang lain.

"Ia mesti berdasarkan kegiatan ekonomi yang kukuh," kata Cik Indranee dalam laporan berkenaan. Penilaian beliau adalah ekonomi Singapura "benar-benar" dalam keadaan demikian buat masa ini.

Cik Indranee bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang komen tentang perubahan-perubahan tertentu di tengah-tengah spekulasi yang pemerintah mungkin akan menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut beliau, rejim cukai Singapura disokong oleh prinsip berbilang sumber pendapatan, iaitu sistem progresif berdasarkan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi. Sistem GST pula direka berdasarkan sistem itu, tambahnya.

Ciri-ciri GST yang luas dan pakej-pakej yang disediakan pemerintah akan membantu penduduk yang berpendapatan rendah. Ini menunjukkan bahawa sistem tersebut memenuhi prinsip-prinsip itu, menurut Cik Indranee.

Cik Indranee turut menekankan mesej Perdana Menteri bahawa Singapura harus berpandangan jauh dan beliau juga menarik perhatian bahawa perbelanjaan sosial akan meningkat sedang penduduk Singapura menua.

"Sebahagian besar perbelanjaan kami adalah untuk perbelanjaan sosial, khususnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sambil memperkenalkan beberapa langkah sokongan sosial. berbelanja dengan bijaksana dan berhemat," katanya dalam wawancara itu.

"Namun, kami juga berpandangan jauh, kami perlu membuat pelaburan dalam prasarana dan membiayai perbelanjaan bagi penduduk yang menua. Oleh itu, kami harus memikirkan cara-cara untuk membiayainya." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan