Images
  • haze sg
    Keadaan berjerebu di Singapura pada 9 Sep 2019. 

S'pura mungkin alami sedikit jerebu akibat tompok panas Sumatera: NEA

SINGAPURA: Singapura mungkin mengalami "keadaan sedikit berjerebu" jika kejadian tompok panas di Sumatera berterusan, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (9 Sep).

Cuaca kering kekal di Sumatera pada Isnin dengan keseluruhan 380 tompok panas dikesan, kebanyakannya di bahagian tengah dan selatan Sumatera, menurut NEA dalam kenyataan medianya.

"Keadaan tompok panas berterusan dengan asap jerebu sederhana hingga tebal di wilayah-wilayah Riau dan Jambi serta ada jerebu sudahpun merentasi Selat Melaka ke bahagian barat Semenanjung Malaysia.

"Tompok-tompok panas dengan asap jerebu juga dikesan di Sumatera Selatan dan Lampung," menurut agensi itu.

"Untuk beberapa hari seterusnya, cuaca kering dijangka berlarutan di Sumatera. Angin diramalkan terus bertiup dari arah tenggara atau selatan.

"Singapura mungkin mengalami keadaan sedikit berjerebu jika keadaan tompok panas di Sumatera berterusan," jelas NEA.

Bacaan PM2.5 untuk satu jam bagi tempoh 24 jam seterusnya dijangka berada dalam paras Biasa hingga Meningkat. Ramalan PSI 24-jam pula dijangka pada paras Sederhana.

"Dengan ramalan mutu udara sedemikian bagi 24 jam berikutnya, setiap orang boleh meneruskan kegiatan biasa," menurut NEA sambil menambah ia akan memantau secara teliti keadaan cuaca.

NEA juga menasihati mereka yang tidak berasa sihat, terutamanya golongan warga emas dan kanak-kanak, serta mereka yang mempunyai penyakit jantung atau paru-paru kronik, untuk mendapatkan nasihat perubatan.  

- CNA/FZ/fz

Top