Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura mesti terbuka kepada pelaburan, pendatang untuk tingkat peluang rakyat: Tharman

Masa hadapan Singapura bergantung kepada peranannya sebagai sebuah hab dalam sektor-sektor seperti pengilangan, kewangan dan logistik.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura mesti terbuka kepada pelaburan, pendatang untuk tingkat peluang rakyat: Tharman

Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 15 Sep 2020 12:34PM Dikemas Kini : 15 Sep 2020 12:35PM

SINGAPURA: Masa hadapan Singapura bergantung kepada peranannya sebagai sebuah hab dalam sektor-sektor seperti pengilangan, kewangan dan logistik. Demikian kata Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Isnin (14 Sep), yang menekankan bahawa mengekalkan ekonomi terbuka adalah penting untuk memaksimumkan peluang bagi rakyat Singapura.

Encik Tharman juga memberi amaran pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan kehilangan sejumlah besar perusahaan kecil dan sederhana (SME) kerana banyak syarikat sebegini terjejas teruk oleh krisis tersebut.

Encik Tharman, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial, berucap semasa satu dialog di Sidang Puncak Singapura - sebuah forum tahunan yang menghimpunkan para pemimpin dari seluruh dunia untuk membincangkan trend-trend sejagat dalam perniagaan, kewangan dan geopolitik.

Dialog itu dihoskan oleh Encik Ho Kwon Ping, Pengerusi Eksekutif kumpulan pusat peranginan Banyan Tree Holdings. Ia menyentuh tentang topik-topik seperti kesan COVID-19 ke atas trend global sedia ada, ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China dan masa hadapan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab ekonomi.

Mengulas lebih lanjut tentang keperluan Singapura untuk kekal terbuka, Encik Tharman berkata negara ini tidak boleh bergantung kepada ekonomi domestik bagi pertumbuhan.

Untuk terus berjaya dan berdaya saing sebagai sebuah hab ekonomi, Singapura tidak seharusnya hanya kekal terbuka kepada perdagangan dan pelaburan tetapi ia juga mesti terus terbuka kepada aliran manusia.

Ini memerlukan usaha berterusan, kata Encik Tharman, dan melibatkan kepercayaan antara Pemerintah dengan rakyat serta mewujudkan sistem yang boleh dipercayai selain sistem pendidikan nasional yang kukuh untuk memastikan matlamat-matlamat tersebut boleh dicapai.

Bagaimanapun, Encik Tharman berkata ia tidak akan menjadi "mampan secara sosial atau politik" untuk sesebuah negara mengamalkan dasar "terbuka secara melulu" kepada warga asing.

Kuncinya adalah bagi Pemerintah menguruskan aliran manusia dan memastikan peluang diwujudkan bagi semua menerusi keterbukaan ini, tambah beliau.

Encik Tharman kemudian membentangkan cara-cara Pemerintah seharusnya mencapainya. Pertama, mesti ada peluang bagi rakyat Singapura untuk mengembangkan diri di setiap peringkat kemahiran.

Ini termasuk memastikan rakyat Singapura dapat menyesuaikan diri dan membangunkan kemahiran sejajar untuk beralih ke sektor-sektor baru.

Negara juga mesti berusaha untuk menggalak firma-firma mengukuhkan perniagaannya di peringkat rantau dan global serta menarik pasukan antarabangsa yang terbaik terdiri daripada kedua-dua warga asing dan rakyat Singapura.

Beliau menambah Pemerintah seharusnya memastikan pengambilan pekerja dan amalan menaikkan pangkat secara adil - sesuatu yang sudahpun dipandang lebih serius kerana kemelesetan ekonomi sekarang.

Akhir sekali, syarikat-syarikat juga seharusnya berhati-hati tentang keperluan "kepelbagaian kerakyatan yang memadai sekalipun dalam kalangan warga asing yang bersama dengan kita", kata beliau.

“Elakkan penumpuan tinggi satu kerakyatan dan itu juga adalah sesuatu yang sedang kami bicarakan bersama firma-firma."

Jumlah keseluruhan warga asing berbanding penduduk di sini juga perlu dikawal, kata Encik Tharman.

"Jika anda mahu mengekalkan keterbukaan kepada bakat dan usahawan terbaik, anda perlu mengawal jumlah keseluruhan dan memastikan bahawa golongan pertengahan yang meluas dalam masyarakat kita serta mereka yang berpendapatan lebih rendah memiliki peluang serta menghadapi persaingan yang adil."

'KEHILANGAN' PERNIAGAAN LEBIH KECIL

Secara berasingan, Encik Tharman berkata pandemik yang berlarutan ini mungkin menyebabkan sebahagian besar ekonomi SME di kebanyakan negara tidak mampu bertahan dalam tahun-tahun mendatang. Beliau menambah perhatian Pemerintah tertumpu untuk mencegah perkara ini daripada berlaku.

Ini akan dicapai menerusi strategi peningkatan fiskal dan industri serta peta perubahan industri kecil, kata Encik Tharman.

HUBUNGAN AS-CHINA

Berkaitan hubungan Amerika Syarikat-China, Encik Tharman percaya ketegangan antara kedua-dua negara itu akan bertambah buruk sebelum ia reda.

Sementara itu, kata beliau, ada "ruang mencukupi" untuk seluruh dunia terus mencapai hasil perkongsian "menang-menang" yang saling menguntungkan termasuk dengan China dan Amerika Syarikat.

COVID-19 SETAHUN DARI SEKARANG

Menyentuh tentang pandemik, Encik Tharman percaya virus korona baru itu akan terus berlegar sekitar setahun lagi dari sekarang tetapi negara-negara akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk menangani jangkitan itu.

Protokol bagi pengasingan dan penjarakan sosial akan lebih difahami. Ini akan membantu mengurangkan penularan jangkitan virus itu.

Bagaimanapun, menyentuh tentang vaksin, Encik Tharman berkata vaksin yang berkesan mungkin akan tersedia dalam masa setahun "jika kita bernasib baik".

Namun sekalipun demikian, vaksin itu tidak mungkin akan tersedia kepada sebahagian besar penduduk di dunia.

Beliau memberi amaran terhadap pemikiran bahawa vaksin COVID-19 adalah satu-satunya huraian yang akan menamatkan pandemik itu.

Sebaliknya, kata Encik Tharman, negara-negara seharunsnya memanfaatkan semua kaedah - ujian yang murah lagi pantas, protokol jarak fizikal yang berkesan dan pemakaian pelitup yang bertanggungjawab. Semua amalan itu, kata beliau, patut menjadi kebiasaan apabila melawan COVID-19.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan