Images

S'pura mesti perteguh jalinan rangkaian global; sistem perdagangan terbuka

SINGAPURA: Singapura mesti mengekalkan jalinan dengan rangkaian global dan mengukuhkan keperluan sistem dagangan terbuka.

Menurut para pengamat, pendekatan sedemikian penting sedang ancaman global dan rentas sempadan seperti pandemik COVID-19 menyorot kerapuhan dalam pendekatan berbilang hala.

Pelibatan Singapura dalam Kemudahan COVAX iaitu kerjasama antarabangsa untuk memastikan akses kepada vaksin secara saksama
menjadi salah satu contoh yang ditampilkan semasa persidangan Institut Pengajian Dasar (IPS).

Profesor Joseph Liow dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam berkata Singapura perlu membina dan meluaskan kerjasama strategik dalam bidang-bidang yang boleh memanfaatkan daya saing negara ini.

Ini memandangkan Singapura mempunyai sumber-sumber yang terhad.

Para pengamat berkata sumbangan Singapura dalam wadah-wadah antarabangsa perlu dikekalkan meskipun perkembangan geopolitik, seperti ketegangan hubungan Amerika Syarikat dengan China, mungkin merumitkan penubuhan badan-badan berbilang hala yang baru.

Mereka menambah, forum-forum global yang sedia ada perlu mengelakkan kebuntuan dalam usaha mencapai kata sepakat yang kebelakangan ini, lebih dipengaruhi tuntutan politik dalam negeri.

Konsultan Kanan Penyakit Berjangkit, Hospital Universiti Nasional, Profesor Dale Fisher mengulas mengenai kepercayaan masyarakat terhadap para pemimpin.

"Di sini saya fikir kepercayaan masyarakat menjadi suatu masalah. Kepercayaan masyarakat membolehkan para pemimpin kita untuk melakukan yang sepatutnya dan kemudian mewujudkan era baru kerjasama global," kata Profesor Dale Fisher

Dekan Akademi Diplomatik, Tan Yee Woan turut menekankan mengenai pentingnya Singapura mencapai kejayaan.

"Tanpa mengira keadaan kerjasama global, negara-negara lain akan lebih bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura jika kita berjaya, boleh diyakini, dipercayai dan berupaya membuat sumbangan," ujar Encik Tan. 

- CNA/ZM/na

Top