Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura mesti pastikan bekalan air mencukupi bagi penuhi keperluan meningkat jelang 2050

Singapura mesti memastikan ia mempunyai cukup bekalan air bagi keluarga-keluarga dan industri menjelang tahun 2050.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura mesti pastikan bekalan air mencukupi bagi penuhi keperluan meningkat jelang 2050

Gambar fail loji NEWater. (Gambar: PUB)

Diterbitkan : 24 Feb 2018 11:22PM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 11:23PM

SINGAPURA: Singapura mesti memastikan ia mempunyai cukup bekalan air bagi keluarga-keluarga dan industri menjelang tahun 2050.

Ini sebelum perjanjian air dengan Malaysia tamat tempoh pada 2061, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chung Sing hari ini (24 Feb).

"Inilah sebabnya kami membina Fasa kedua bagi Sistem Pembetungan Terowong Dalam, untuk mengitar semula sebanyak mungkin air dan kami akan terus meneroka kemungkinan mengumpulkan setiap titisan air yang membasahi bumi Singapura," tambah beliau.

Sistem pembetungan terowong dalam itu adalah cara Singapura mengumpulkan dan membekalkan air yang sudah digunakan dari merata negara ke tiga loji pemulihgunaan air - Changi, Kranji dan Tuas untuk dirawat.

Air itu kemudian dibersihkan untuk dijadikan AirBaru atau dilepaskan ke dalam laut.

Di bawah pelan induk agensi air kebangasaan PUB, AirBaru dan air suling akan memenuhi 85 peratus permintaan air Singapura menjelang 2060. Pada waktu itu juga jumlah permintaan air dijangka naik seganda.

Isu air adalah antara perancangan prasarana yang disentuh Encik Chan semasa berucap di majlis jamuan malam tahunan sempena Tahun Baru Cina, yang dihadiri para penasihat akar umbi dan penduduk kawasan undi Tanjong Pagar serta Radin Mas.

Beliau menekankan Singapura harus terus melabur dalam prasarana untuk menjadikan negara ini tempat yang menarik bagi syarikat-syarikat dan mewujudkan "pekerjaan yang baik untuk rakyat kita".

"Kita sedang membangunkan 100 tahun akan datang dengan pelaburan-pelaburan dalam rangkaian pengagihan elektrik bawah tanah untuk menggantikan rangkaian (sedia ada), yang ditinggalkan oleh Britain, yang semakin usang.

"(Kita) sedang memastikan kawasan tanah tambak kita boleh bertahan sedang pemanasan global berlaku dan paras air laut diramal naik," kata beliau.

Encik Chan merujuk projek pembangunan seperti Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura pada tahun 2020; Terminal 5 Lapangan Terbang Changi yang dijangka siap sekitar tahun 2030; pelabuhan mega Tuas yang dijadual siap pada 2040; dan keperluan bekalan air yang mencukupi menjelang tahun-tahun 2050-an.

"Selepas tahun-tahun 2050-an, kita bersedia untuk membangunkan semula generasi seterusnya flat-flat dan bandar HDB bagi memastikan setiap estet HDB adalah gambaran Singapura, dengan profil usia yang pelbagai serta jenis flat untuk memenuhi keperluan rakyat Sigapura yang kian berubah-ubah," ujar Encik Chan.

"Kita akan menangani keadaan sekarang, di mana terdapat perbezaan ketara usia bandar-bandar kita - dari Tanjong Pagar yang secara purata mempunyai flat-flat lama kepada Punggol dengan flat-flat baru."

Dari segi pelaburan dalam pendidikan pula, Encik Chan berkata ia harus terus menjadi tunjang strategi ekonomi Singapura, sambil menekankan perlunya pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan awal kanak-kanak.

Hampir seminggu sudah berlalu sejak Belanjawan Negara 2018 dibentangkan dan Encik Chan juga menekankan mengapa penggunaan rizab Singapura tidak boleh diambil mudah. Beliau berkata demikian dengan mengaitkan antara rizab dengan kekuatan mata wang.

Menggulung ucapannya, Encik Chan berkata Singapura mempunyai asas yang kukuh namun ia mesti terus mengekalkan kelebihannya itu.

"Fasa seterusnya dalam pertumbuhan ekonomi kita amat bergantung kepada keupayaan kita untuk berinovasi dan memanfaatkan pasaran global demi pertumbuhan kita sendiri," kata beliau.

"Selagi kita terus bersatu, jelas tentang cabaran-cabaran kita dan mengharunginya bersama-sama, tiada sebab mengapa kita tidak boleh meraikan SG100 dengan penuh bangga dan yakin."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan