Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura mesti bertindak tegas terhadap sebarang gejala memecah belah rakyat, tegas Heng Swee Keat

Sesetengah perbincangan dan wacana awam mengenai warga asing menunjukkan bahawa Singapura juga tidak terlepas daripada gejala-gejala memecahbelahkan yang melanda seluruh dunia, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (20 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura mesti bertindak tegas terhadap sebarang gejala memecah belah rakyat, tegas Heng Swee Keat

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Diterbitkan : 20 Jan 2020 02:13PM Dikemas Kini : 20 Jan 2020 02:28PM

SINGAPURA: Sesetengah perbincangan dan wacana awam mengenai warga asing menunjukkan bahawa Singapura juga tidak terlepas daripada gejala-gejala memecahbelahkan yang melanda seluruh dunia, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (20 Jan).

"Kecenderungan" seperti itu mesti ditangani dengan tegas, katanya.

"Sekiranya kita membiarkan gejala-gejala sedemikian menjejas kita, harapan dan keprihatinan kita akan dieksploitasi untuk mewujudkan perasaan takut dan marah. Kepelbagaian kita akan dijadikan sebagai senjata untuk memecahbelahkan kita. Perpaduan kita akan menjadi goyah dan masyarakat kita akan menjadi lemah," menurut Encik Heng.

Semasa berucap di acara tahunan Persidangan Perspektif Singapura, Encik Heng turut menarik perhatian kepada beberapa pengajaran yang harus dijadikan pedoman.

Ini termasuk memastikan agar perbezaan pendapat itu tidak berakar umbi dan merosakkan perpaduan sosial. Singapura juga mesti terus berwaspada terhadap parti-parti politik yang menggunakan retorik perpecahan untuk meraih sokongan dan rakyat negara ini tidak seharusnya menjadi mangsa fahaman populisme, tegas Encik Heng.

Dengan gejala-gejala seumpama ini, rakyat Singapura mesti bersatu padu dan semangat teguh ini bertambah penting dalam landskap masa kini.

Mengimbas kembali kepada zaman dahulu dan bagaimana nenek moyang kita berjaya merubah sebuah pulau menjadi sebuah bandar maju yang berbilang budaya, Encik Heng berkata: "Saya yakin semangat kekitaan ini akan menjadi kekuatan kita. Kejayaan kita berjaya dicapai melalui tadbir urus yang luar biasa - para pemimpin yang cukup berkebolehan, berganding bahu dengan rakyat yang bersatu padu."

LEBIH BANYAK PERLU DILAKUKAN BAGI GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH

Dalam era di mana ketidaksamarataan semakin ketara, pemerintah akan mengukuhkan asas-asasnya bagi memastikan tiada seorang pun rakyat Singapura yang ketinggalan semata-semata disebabkan oleh keadaan atau kedudukan keluarganya.

Sehubungan itu, Encik Heng menarik perhatian kepada usaha-usaha seperti mempertingkatkan pelaburan dalam pendidikan prasekolah dan memperhebatkan bantuan yang dihulurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

"Kita sedang mengkaji bagaimana kita boleh membantu rakyat Singapura berpendapatan rendah dan sederhana dengan lebih baik lagi, termasuk warga tua sekarang dan yang pada masa akan datang, bagi memenuhi keperluan persaraan mereka dalam cara yang mampan," kata Encik Heng, sambil menjanjikan lebih banyak perincian akan didedahkan dalam ucapan Belanjawannya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan