Images
  • peoples park 1970
    Tan Cheong Chuan menjual kuih tutu di People's Park pada tahun 1970-an. (Gambar: Tan Bee Hua)

S'pura memeterai konvensyen UNESCO dalam usaha untuk pelihara warisan budaya

SINGAPURA: Singapura mengesahkan Konvensyen UNESCO 2003 bagi Perlindungan Warisan Budaya seperti seni persembahan, adat resam dan hasil kraf tangan tradisional.

Demikian diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Grace Fu hari ini (8 Mac).

Singapura menandatangani konvensyen tersebut pada 22 Februari lalu, dedah Cik Fu semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukkan kementerian tersebut.

Di bawah ketetapan tersebut Singapura harus menepati syarat-syarat konvensyen untuk memelihara warisan budayanya sendiri. Sebagai ganti, Singapura akan menerima sokongan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan negara-negara lain atas usahanya itu.

Ini akan membolehkan Singapura untuk menyenaraikan salah satu seni warisan budaya Singapura dalam senarai UNESCO.

Cik Fu turut mengumumkan kementeriannya memperuntukkan S$66 juta untuk melaksanakan tahap pertama Pelan Warisan SG Kita. Pelan induk lima tahun itu berharap dapat menyemai rasa bangga terhadap warisan dan menggalak warisan bersama bagi generasi masa depan.

Sejak dua tahun lalu, MCCY sudah mendekati 34,000 rakyat Singapura untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai rancangan warisan kita, kata Cik Fu. Rancangan tersebut berkisar pada empat tema iaitu Tempat Kita, Budaya Kita, Khazanah Kita dan Masyarakat Kita.

Selain itu juga, Cik Fu berkata Pemerintah akan membuat beberapa perubahan kepada undang-undang tertentu dalam dua tahun akan datang bagi menyokong pemuliharaan warisan dan melindungi sejarah arkeologi Singapura dengan lebih baik lagi. MCCY akan berkongsi perincian lebih lanjut mengenainya di Festival Warisan Singapura bulan depan, kata Cik Fu.

BELIA SERTAI PERBINCANGAN MENGENAI ISU-ISU DASAR

Cik Fu turut menyentuh mengenai pentingnya melibatkan belia dalam isu-isu dasar utama. Untuk melakukan ini, MCCY akan memulakan "Youth Conversations" pada bulan April untuk membawa para belia bersatu, membincangkan strategi dan daya usaha yang luas mengenainya, kata beliau.

Buat permulaan MCCY akan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah lain untuk mengenal pasti bidang yang diminati para belia, tambahnya.

Beliau berkata kementeriannya sedang menguji cara-cara penglibatan yang berbeza dan unik, dan ia akan menggunakan teknologi untuk kekal relevan dan berhubungan dengan belia.

"Kami akan mewujudkan platform digital yang akan memudahkan perbincangan masa nyata dengan masyarakat online, dan membolehkan peserta untuk menjalin dan mengekalkan hubungan antara satu sama lain," kata beliau.

Para peserta Youth Conversations boleh menjangkakan perbincangan yang "lebih santai dan interaktif," kata beliau.  

- CNA/FA/aq

Top