Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura-M'sia rasmi tangguhkan HSR; M'sia tanggung kos tunda projek

Singapura dan Malaysia secara rasmi bersetuju untuk menangguhkan pembinaan laluan Kereta Api Laju KL-Singapura (HSR) sehingga Mei 2020, dengan kerajaan Malaysia menanggung kos yang dipersetujui bagi menunda projek tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Sep 2018 04:43PM Dikemas Kini : 05 Sep 2018 10:26PM

PUTRAJAYA: Singapura dan Malaysia secara rasmi bersetuju untuk menangguhkan pembinaan laluan Kereta Api Laju KL-Singapura (HSR) sehingga Mei 2020, dengan kerajaan Malaysia menanggung kos yang dipersetujui bagi menunda projek tersebut.

Menteri Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan menandatangani dokumen rasmi perjanjian terbaru itu di Pejabat Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya pada Rabu (5 Sep).

Di bawah persetujuan baru itu, khidmat ekspres HSR dijangka bermula menjelang 1 Januari 2031, dan bukan 26 Disember 2026 seperti yang ditetapkan sebelumnya.

Penukaran dokumen disaksikan Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean, rakan sejawatannya di Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Dalam sidang media kemudian, Encik Azmin mendedahkan bahawa Malaysia akan membayar S$15 juta kepada Singapura sebagai kos terbantut.

Malaysia diberi sehingga hujung Januari 2019 untuk melunaskan jumlah tersebut.

Jika Malaysia tidak meneruskan projek tersebut selewat-lewatnya 31 Mei 2020, negara itu akan membayar balik kos yang ditanggung oleh pemerintah Singapura dalam memenuhi perjanjian dua hala itu.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan kedua-dua negara, sepanjang tempoh penangguhan tersebut, "perbincangan akan terus berjalan bagi mencari jalan terbaik untuk melaksanakan projek HSR dengan matlamat mengurangkan kos".

"Kita telah bekerja keras untuk mencapai huraian yang memanfaatkan kedua-dua pihak," kata Encik Azmin.

"Tidak dapat dinafikan, persetujuan ini tidak mungkin tercapai tanpa komitmen teguh terhadap kerjasama dua hala kita bersama," tambahnya.

"Saya yakin semangat kerjasama ini akan membawa kepada kejayaan HSR Kuala Lumpur-Singapura."

Encik Khaw pula berkata: "Ramai warga Singapura menantikan perlaksanaan projek ini dan kami tetap komited terhadap kejayaan projek ini" sambil menambah bahawa beliau faham sebab Malaysia perlu menangguhkan pembangunan HSR.

Projek rel kelajuan tinggi HSR merupakan antara beberapa projek yang disemak semula selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir mengumumkan sejurus selepas pilihan raya itu bahawa projek HSR akan dibatalkan, sambil berkata ia tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

Namun, dua bulan kemudian, beliau berkata projek itu ditangguhkan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan