Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, M'sia mesti saling hormat perjanjian antarabangsa

Singapura komited untuk bekerjasama dengan kerajaan baru Malaysia, namun ia perlu diadakan atas dasar "kedua-dua pihak saling menghormati sepenuhnya perjanjian antarabangsa"

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Jul 2018 05:55PM Dikemas Kini : 09 Jul 2018 10:33PM

SINGAPURA: Singapura komited untuk berurusan dan bekerjasama dengan kerajaan baru Malaysia, menurut Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Isnin (9 Jul).

Namun tegas beliau, kerjasama perlu diadakan atas dasar "kedua-dua pihak saling menghormati sepenuhnya perjanjian antarabangsa dan sebarang perselisihan ditangani secara aman mengikut undang-undang antarabangsa".

"Jika syarat ini dipatuhi, kita yakin hubungan dua hala akan berkembang, bagi manfaat rakyat kedua-dua negara," kata beliau sebagai jawapan kepada pertanyaan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Christopher de Souza berhubung status hubungan antara kedua-dua negara.

Namun beliau akur laporan tentang beberapa isu baru-baru ini membuat sebilangan rakyat tertanya-tanya tentang kesannya terhadap hubungan dua hala.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata bahawa perjanjian bekalan air dengan Singapura "terlalu mahal" dan kerajaannya perlu merunding semula perjanjian tersebut dengan Singapura.

Dr Balakrishnan bagaimanapun menekankan bahawa ia bukan sebarang perjanjian biasa dan harga air dipersetujui oleh kedua-dua Singapura dan Malaysia di bawah Perjanjian Perpisahan 1965. Perjanjian Perpisahan itu, tambah beliau, didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sebarang pencabulan terhadap perjanjian air 1962 akan menjejas Perjanjian Perpisahan, yang menjadi dasar di sebalik kewujudan Singapura sebagai sebuah negara berdaulat," kata beliau.

"Singapura akan patuhi sepenuhnya syarat-syarat Perjanjian Air 1962, termasuk harga air, dan menjangkakan Malaysia juga akan berbuat demikian," tambah beliau.

Menukil kenyataan di Parlimen pada 2003 dan 2014 oleh Menteri-Menteri Ehwal Luar S Jayakumar dan K Shanmugam, Dr Balakrishnan menekankan bahawa hakikatnya adalah bukan harga yang perlu dibayar tetapi bagaimana sebarang semakan harga akan diputuskan.

Beliau menegaskan Singapura dan Malaysia tidak boleh mengubah syarat-syarat perjanjian secara sepihak.

M'SIA MAKMUR DAN STABIL BAIK UNTUK S'PURA, RANTAU

Dr Balakrishnan berkata bahawa Malaysia yang stabil dan makmur adalah baik untuk Singapura dan rantau ini. Beliau menambah kedua-dua negara berhubungan secara kerap sejak Pilihan Raya Umum Malaysia pada Mei lalu.

Merujuk kepada tiga prinsip asas dasar luar Singapura yang "berkait rapat" dengan hubungannya dengan Malaysia, Dr Balakrishnan menekankan bahawa mematuhi undang-undang antarabangsa dan memenuhi perjanjian antarabangsa adalah "prinsip penting" bagi negara kecil seperti Singapura.

Beliau menukil kes Pedra Branca sebagai contoh bagaimana kedua-dua Singapura dan Malaysia saling mematuhi "proses undang-undang" dan menangani isu berkenaan menurut undang-undang antarabangsa serta menghuraikannya secara aman.

Dr Balakrishnan juga menarik perhatian kepada betapa pentingnya menegakkan nama baik Singapura sebagai rakan yang boleh dipercayai dan konsisten, serta sebagai sebuah negara yang mematuhi sepenuhnya tanggungjawab antarabangsanya.

"Reputasi ini yang dibina Singapura selama berdekad-dekad, penting bagi ruang politik dan ekonomi kita," kata beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan