Images
  • khaw azmin
    Encik Khaw Boon Wan (kanan) dan Encik Azmin Ali (Gambar: Facebook/Khaw Boon Wan)

S'pura, M'sia mahu bawa hubungan dua hala ke landasan sepatutnya, kata Khaw Boon Wan

SINGAPURA: Menteri Penyelaras bagi Prasarana Khaw Boon Wan berkata Singapura dan Malaysia sama-sama mahu membawa semula hubungan dua hala ke landasan yang sepatutnya.

Beliau berkata demikian dalam catatannya di laman Facebook pada Isnin (14 Jan) selepas pertemuan baru-baru ini dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali.

Encik Khaw yang juga Menteri Pengangkutan berkata Encik Azmin sedar tentang "pertikaian-pertikaian tidak perlu" di Tuas dan Seletar.

Encik Khaw berkata mereka juga membincangkan isu projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang ditangguhkan.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan perincian lanjut mengenai perkara-perkara yang dibincangkan.

Encik Khaw turut menyuarakan harapan agar "projek-projek bagus" seperti Sistem Transit Laju (RTS) Woodlands-Johor Bahru akan menjadi kenyataan bagi membantu rakyat di kedua-dua bahagian Koswe.

Sentimen serupa disuarakan Encik Azmin mengenai pertemuannya dengan Encik Khaw.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia itu berkata hasil daripada rundingan HSR beberapa bulan lalu telah meletakkan asas bagi hubungan kerja yang positif untuk menghuraikan isu-isu.

Semasa di Singapura, Encik Azmin juga bertemu Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong.

Encik Azmin berkata mereka berbincang secara terus terang dan positif mengenai isu-isu dua hala.

- CNA/MU/tq

Top