Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, M'sia komited dengan perjanjian baru RTS, HSR meski pentadbiran politik berubah

Perjanjian dua hala bagi sistem kereta api rentas sempadan - Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) akan diwarisi pentadbiran masa akan datang Singapura dan juga Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, M'sia komited dengan perjanjian baru RTS, HSR meski pentadbiran politik berubah

PM Lee Hsien Loong bersama PM Najib Razak menyusuli pemeteraian perjanjian RTS, 16 Jan. (Gambar: TODAY/Jason Quah)

Diterbitkan : 16 Jan 2018 07:09PM Dikemas Kini : 16 Jan 2018 07:12PM

SINGAPURA: Perjanjian dua hala bagi sistem kereta api rentas sempadan - Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) akan diwarisi pentadbiran masa akan datang Singapura dan juga Malaysia.

Ini tidak mengira "siapa pun yang menjadi pemerintah di kedua-dua negara", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

PM Lee berkata demikian semasa berucap selepas majlis pemeteraian bagi RTS yang diadakan hari ini (16 Jan) antara Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Abdul Rahman Dahlan.

Semasa sidang media bersama yang diadakan sebagai sebahagian daripada Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia yang kelapan, PM Lee dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Razak diminta memberikan komen tentang bagaimana kedua-dua negara akan memastikan projek RTS dan kereta api laju (HSR) yang menghubungkan Singapura dengan Malaysia tidak terjejas oleh perubahan-perubahan politik.

Ini memandangkan kedua-duanya adalah projek yang menjangkaui beberapa penggal pemerintah.

Pilihan raya Malaysia mesti diadakan sebelum Ogos 2018.

PM Lee berkata Singapura komited untuk melaksanakan apa yang sudah ditandantangani hari ini.

"Komitmen ini dirasmikan dalam satu perjanjian yang ditandatangani oleh dua pemerintah hari ini," kata PM Lee.

"Ia adalah perjanjian yang sah dan mengikat. Siapa pun yang mentadbir pemerintah di kedua-dua negara, terlibat dan mewarisi perjanjian ini. Jika pemerintah seterusnya berlainan pandangan, kita akan tanganinya dan perjanjian ini akan disesuaikan dengan perkara-perkara di luar jangkaan tersebut."

Bagi pihak Malaysia, Datuk Seri Najib berkata beliau tidak menjangkakan pilihan akan datang di negaranya akan mengubah hubungan antara kedua-dua negara.

"Kita tidak boleh menentukan apakah keputusan para pengundi, namun kami boleh berkongsi agenda untuk mereka membuat keputusan dalam bentuk demokrasi dan mereka akan membuat keputusan mengenai agenda yang amat bermakna dan produktif," kata Datuk Najib.

Beliau berkata kerajaannya percaya pada hubungan baik dengan negara jiran dan terdapat manfaat nyata "jika kita bekerjasama".

"Pastinya kami tidak mahu kembali ke zaman diplomasi konfrontasi dan retorik saling tuduh-menuduh antara kedua-dua negara," kata Datuk Najib lagi.

"Itu adalah zaman yang ingin kita lupakan. Pastinya kami tidak mahu kembali ke zaman itu. Atas sebab itulah kami yakin kedudukan kerajaan sekarang akan membawa manfaat kepada Singapura dan juga Malaysia dan kami berpegang teguh kepada dasar, agenda dan keupayaan kami untuk menyampaikan manfaat sebenar dan nyata kepada rakyat kedua-dua negara."

RTS AKAN UBAH KETERSAMBUNGAN ANTARA S'PURA, M'SIA

Kedua-dua pemimpin berucap panjang lebar mengenai perjanjian yang baru dimeterai bagi RTS.

Memberikan maklumat terperinci mengenai apa yang disifatkan sebagai projek berdaya maju dan rumit, PM Lee berkongsi bahawa khidmat kereta api itu akan beroperasi atas darat, menyeberangi Selat Johor sebelum sekali lagi melalui terowong di mana ia akan dihubungkan dengan sistem MRT Singapura di Stesen Utara Woodlands, iaitu di Laluan Thomson-East.

Terdapat juga kemudahan bawah tanah bagi Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), kata PM Lee.

"Keupayaan RTS menampung lebih ramai penumpang akan melegakan kesesakan di Koswe dan CIQ di Koswe serta menyediakan kemudahan untuk penduduk Johor datang ke Singapura untuk bekerja dan bercuti dan bagi penduduk Singapura untuk ke Johor, bekerja, belajar dan membeli belah," kata PM Lee lagi.

Datuk Najib pula menambah RTS akan "mengubah ketersambungan" antara kedua-dua negara.

PM Lee dan Encik Najib menekankan tentang jalinan hubungan "akrab" antara kedua-dua negara, sambil berkata ia membolehkan Singapura dan Malaysia bekerjasama dalam banyak projek.

Antara kerjasama itu, PM Lee menekankan tentang keselamatan air, sambil berkata Singapura dan Malaysia akan menjalankan kajian bersama di Sungai Johor untuk meneliti cara-cara memulihara bekalan air di Kolam Air Linggiu.

PM Najib juga mengatakan tentang perlunya melegakan kesesakan di Koswe, sambil menambah pihaknya sedang menimbangkan permintaan oleh PM Lee untuk menjaikan Link Kedua lebih menarik bagi para pengguna.

Dalam pada itu Datuk Najib berkata beliau juga membangkitkan isu mengenai cabaran-cabaran berkaitan pengurusan pelabuhan di Pasir Gudang dan Tanjong Langsat kepada PM Lee.

"Kami amat berterima kasih kepada PM Lee kerana akan meneliti sebahagian cabaran berkaitan kegiatan keluar masuk kapal-kapal di kedua-dua pelabuhan," Datuk Encik Najib.

Menurutnya beliau turut memberitahu PM Lee bahawa Malaysia akan memberikan sokongan penuh kepada Singapura yang mempengerusikan ASEAN.

Beliau menambah bahawa Singapura memilih tema yang sesuai, iaitu berdaya tahan dan inovatif, serta menekankan tentang ekonomi-ekonomi digital.

Tambahnya lagi, Singapura dan Malaysia boleh bekerjasa berhubung perkara itu, menggalak penyepaduan serta inisiatif-inisiatif e-niaga dan e-bayaran yang mengaitkan Singapura dan Kuala Lumpur sebagai bandar bijak.

BIDAAN KERETA API LAJU TELUS, KATA PM LEE

Berhubung kriteria yang ditetapkan oleh kedua-dua negara bagi kereta api laju antara Kuala Lumpur dengan Singapura, PM Lee berkata ia adalah proses sistematik yang akan meneliti "banyak aspek".

Misalnya, satu senarai disediakan untuk menilai apa yang dianggap sebagai "perkara-perkara yang ditolak" dan juga "yang diinginkan".

"Bukan setakat harganya tetapi juga sama ada ia boleh dipercayai, syarat-syaratnya, pembiayaan, jaminan yang diterima, rekod syarikat, keyakinan terhadap syarikat (yang membuat bidaan), apa yang sudah mereka lakukan di tempat lain," kata PM Lee.

"Lantaran itu, perlu ada penilaian yang akan dilakukan bersama, tetapi jika proses itu telus dan terbuka, saya rasa rakyat yakin bahawa ia adalah penilaian yang dibuat dengan jujur dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak dan tanpa berniat untuk menyokong atau menyakiti mana-mana pihak.

"Apabila anda ada persaingan, mesti ada yang menang dan juga yang kalah. Sama seperti pilihan raya, ada pemenang dan juga yang kalah dan ia mesti dilakukan dengan cara di mana pemenang memenanginya dengan adil dan yang tewas mesti menerima hakikat itu walaupun dia tidak berpuas hati."

Bersetuju dengan PM Lee, Datukk Najib berkata penilaian akan dibuat secara menyeluruh dan berbilang aspek serta menimbangkan kos-kos berkaitan dengan kitaran kehidupan (sistem), penyenggaraannya dan keupayaannya untuk memaksimumkan "kandungan tempatan" supaya rakyat dapat melihat bahawa HSR akan membawa manfaat nyata kepada mereka sepanjang tempoh ia dibina. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan