Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura longgarkan sekatan pergerakan pekerja hijrahan di dormitori

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan "secara bertahap-tahap melonggarkan" sekatan pergerakan terhadap para pekerja hijrahan yang menetap di dormitori.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Sep 2021 05:19PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 09:03PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan "secara bertahap-tahap melonggarkan" sekatan pergerakan terhadap para pekerja hijrahan yang menetap di dormitori.

Ia adalah "pendekatan berdasarkan status vaksinasi", jelas MOM pada Kamis (9 Sep), dengan pekerja yang tidak divaksin diminta supaya mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat atau menjalani ujian tambahan.

Sekatan pergerakan ke atas semua dormitori dikuatkuasakan pada April tahun lalu setelah penularan di dormitori menyaksikan berpuluh-puluh ribu kes jangkitan COVID-19.

Mulai Isnin depan, para pekerja hijrahan yang sudah divaksin akan dibenarkan mengunjungi lokasi-lokasi kemasyarakatan yang dikenal pasti terlebih dahulu yang akan dijadikan sebagai sebahagian daripada satu skim perintis.

Sebagai permulaan, setiap minggu, sehingga 500 pekerja lengkap divaksin dari dormitori-dormitori dengan Langkah-Kehidupan Selamat yang baik, tiada kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu terakhir dan dengan kadar vaksinasi yang tinggi, akan dibenarkan mengunjungi lokasi-lokasi itu selama enam jam.

Lokasi pertama yang dikenal pasti ialah Little India dan para pekerja akan dikehendaki menjalani ujian pantas antigen (ART) sebelum dan tiga hari selepas mengunjungi lokasi tersebut.

Menurut MOM, ia akan menyemak skim perintis itu selepas sebulan untuk mengkaji bagaimana untuk memperluaskan skop dan skalanya dengan selamat.

KUNJUNGAN KE TEMPAT RIADAH

Mulai Isnin depan, semua pekerja hijrahan juga akan dapat mengunjungi pusat-pusat riadah dengan lebih kerap, sehingga dua kali seminggu.

MOM akan bekerjasama dengan badan-badan bukan pemerintah (NGO) untuk memperkenalkan aktiviti-aktiviti termasuk tayangan filem, sukan, acara sukan dan riadah, serta upacara keagamaan di pusat-pusat sedemikian dan dormitori-dormitori.

Para pekerja akan dapat mengunjungi pusat-pusat riadah dalam tempoh 48 jam selepas ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) menunjukkan hasil negatif atau 24 jam daripada hasil negatif ujian ART mereka. Ini adalah sebahagian daripada ujian ART yang diwajibkan antara ujian rutin berjadual mereka.

Para pekerja yang ingin mengunjungi pusat-pusat riadah buat kali kedua pada minggu yang sama di luar tempoh ujian asas boleh berbuat demikian setelah disahkan negatif.

Kunjungan ke daya tarikan tempatan yang dianjurkan oleh badan-badan NGO untuk para pekerja hijrahan yang sudah divaksin juga akan disambung semula, dan para peserta perlu menjalani ujian ART sebelum menyertai acara sedemikian. Acara seperti itu digantung semasa Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan