Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura laporkan kematian ke-24 akibat COVID-19; 3 kelompok baru dikesan

Sebanyak 408 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Isnin (1 Jun), dengan tiada kes jangkitan baru dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura laporkan kematian ke-24 akibat COVID-19; 3 kelompok baru dikesan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Jun 2020 11:30PM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 11:34PM

SINGAPURA: Sebanyak 408 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Isnin (1 Jun), dengan tiada kes jangkitan baru dalam masyarakat.

Ini merupakan kali pertama dalam lebih daripada tiga bulan di mana tiada kes jangkitan baru dalam masyarakat dilaporkan dalam kemas kini harian oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Seorang warga China berusia 51 tahun - Kes 17329 - meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi akibat COVID-19 pada Ahad (31 Mei). Beliau merupakan pesakit ke-24 dan paling muda yang meninggal dunia akibat virus itu di Singapura.

Lelaki itu diuji positif COVID-19 pada 1 Mei.

Beliau didiagnos menghidap penyakit limfoma yang disulitkan oleh kegagalan pelbagai organ semasa dirawat di unit jagaan rapi pada penghujung bulan April, menurut MOH.

Meskipun dirawat bagi penyakit limfoma, keadaannya bertambah teruk dan beliau kemudian meninggal dunia.

Kesemua kes pada Isnin melibatkan pemegang pas kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing, menurut MOH dalam kenyataan media yang dikeluarkan siang tadi. Dengan kes baru pada hari ini, jumlah kes keseluruhan di Singapura kini 35,292.

Menurut MOH, ia terus mengesan lebih banyak kes jangkitan dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori, termasuk di dormitori yang diubah dari kilang disebabkan oleh ujian menyeluruh yang dijalankan di premis.

Pada 28 Mei, MOH mencatatkan tiada kes baru dalam kalangan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap buat pertama kali sejak 23 Feb.

Satu kes jangkitan dalam masyarakat dilaporkan pada 28 Mei - seorang pemegang pas kerja dari China yang bekerja sebagai kakitangan prasekolah. Sejak itu, terdapat kes jangkitan dalam masyarakat dilaporkan setiap hari sehingga Isnin.

Menurut MOH, jumlah kes jangkitan baru dalam masyarakat merosot, dari purata tujuh kes setiap hari pada minggu sebelumnya kepada purata tiga kes setiap hari pada minggu lalu.

"Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat kekal stabil pada purata dua setiap hari sepanjang dua minggu lalu," kata MOH.

Tiga kelompok baru jangkitan ditemui di: dormitori HSJV di 33A Tanah Merah Coast Road dan dormitori pekerja asing di 10 Tuas South Street 12 dan 109 Tuas View Walk 1.

Sebanyak 767 lagi pesakit dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah pesakit yang pulih kini 22,466.

344 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih, menurut MOH. Daripada jumlah itu, tujuh pesakit berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit jagaan rapi.

Terdapat 12,458 pesakit yang mengalami simptom sederhana atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif bagi COVID-19. Mereka kini diasingkan dan dijaga di kemudahan jagaan masyarakat.

Tempoh "pemutus rantaian jangkitan COVID-19" Singapura berakhir pada Isnin dengan langkah-langkah ditarik balik secara bertahap-tahap mengikut tiga fasa bermula esok.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan