Images
  • sg covid crowd (1)
    Orang ramai melintasi jalan raya di Raffles Place pada 6 Sep 2021. (Gambar: Gaya Chandramohan)

S'pura lapor lagi 15 kematian COVID-19; 2,932 kes baru

SINGAPURA: Singapura melaporkan 2,932 kes baru COVID-19 pada Khamis (14 Okt) sedang lagi 15 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan koronavirus itu.

Mereka yang meninggal dunia adalah lapan lelaki dan tujuh wanita, termasuk individu berusia 23 tahun yang belum lengkap divaksin dan seorang lagi individu berumur 34 tahun yang tidak divaksin. Kedua-duanya mengalami beberapa keadaan perubatan sedia ada.

Lagi 13 individu yang meninggal dunia berusia antara 60 hingga 89 tahun. Daripada jumlah itu, lapan tidak divaksin terhadap COVID-19 dan lima sudah divaksin sepenuhnya. Kesemua mereka mempunyai pelbagai keadaan perubatan.

Ini membawa angka korban di Singapura akibat koronavirus kepada sebanyak 207 kematian.

Dalam kalangan kes yang dilaporkan pada Khamis, 2,929 adalah jangkitan tempatan. Mereka terdiri daripada 2,412 kes dalam masyarakat dan 517 penghuni dormitori pekerja hijrahan.

Tiga lagi adalah kes import, menurut kemas kini harian Kementerian Kesihatan (MOH).

Setakat Khamis, Singapura melaporkan 138,327 kes jangkitan COVID-19 kesemuanya sejak pandemik tersebut melanda negara ini.

KEMASUKAN KE HOSPITAL, PEMULIHAN DI RUMAH

Di antara semua kes COVID-19 yang dirawat atau dimasukkan ke hospital, 16,723 kes atau 77.8 peratus sedang menjalani pemulihan di rumah.

Lagi 2,823 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 438 di kemudahan rawatan COVID-19.

Baki 1,511 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sebahagian besar daripada mereka sedang dipantau, menurut MOH. Daripada jumlah itu, 310 pesakit memerlukan sokongan oksigen dan 46 dalam unit jagaan rapi (ICU).

Sepanjang 28 hari yang lalu, dalam kalangan 63,299 individu yang terjangkit, 1.1 peratus memerlukan bantuan pernafasan dan 0.1 peratus di ICU.

Dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke ICU, 50.1 peratus sudah lengkap divaksin dan 49.9 peratus sama ada tidak divaksin atau belum lengkap divaksin.  

LONJAKAN KES AKIBATKAN KELENGAHAN COVID-19 DI DORMITORI: PENGENDALI

Lonjakan pada jumlah kes COVID-19 dalam kalangan pekerja SembCorp Marine di Dormitori Westlite di Jalan Tukang menyebabkan kelengahan untuk membawa pesakit ke kemudahan yang sesuai, menurut pengendalinya Centurion Corporation.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu menjawab dakwaan mengenai pelanggaran protokol kesihatan COVID-19, kekurangan akses kepada sokongan perubatan dan mutu makanan yang kurang memuaskan di dormitori.

Pasukan-pasukan klinik bergerak sudahpun dikerahkan ke lokasi untuk memenuhi keperluan jagaan pekerja dan maklum balas mereka mengenai mutu makanan yang disediakan sudahpun dibangkitkan kepada majikan mereka, menurut MOM. 

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top