Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor 7 kes baru COVID-19, termasuk 6 jangkitan diimport

Singapura melaporkan tujuh jangkitan baru COVID-19 setakat tengah hari Selasa (27 Okt), termasuk enam kes yang diimport.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 7 kes baru COVID-19, termasuk 6 jangkitan diimport

Para penumpang beratur di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Changi pada 8 Jun 2020. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 27 Oct 2020 04:17PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 12:40AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan tujuh jangkitan baru COVID-19 setakat tengah hari Selasa (27 Okt), termasuk enam kes yang diimport.

Satu kes dalam masyarakat dilaporkan sementara tiada kes dicatat di dormitori pekerja asing, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Kesemua enam kes yang diimport itu dikenakan notis jangan keluar rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura, tambah MOH.

Jangkitan baru itu membawa kepada jumlah keseluruhan 57,980 kes di Singapura.

KES DALAM MASYARAKAT

Kes baru dalam masyarakat yang dilaporkan ialah seorang pemegang pas lawatan jangka pendek berusia 28 tahun yang tiba dari Vietnam menggunakan Pas Perjalanan Udara.

Wanita itu ialah penjaga bagi saudaranya, yang sedang menerima rawatan perubatan di Singapura bagi keadaan kesihatan yang tidak mempunyai kaitan dengan COVID-19, menurut MOH.

Wanita itu diuji bagi COVID-19 setibanya beliau di Singapura pada 10 Oktober dan keputusan ujiannya adalah negatif.

Beliau kemudian menunjukkan gejala pernafasan akut pada 23 Oktober. Beliau diuji bagi COVID-19 dan kemudian disahkan sebagai kes COVID-19 pada 25 Oktober.

KES-KES IMPORT

Daripada enam kes yang diimport, satu melibatkan pemegang pas lawatan jangka pendek berusia 52 tahun yang melakukan perjalanan dari Indonesia.

Beliau dibenarkan memasuki ke Singapura untuk mengunjungi anaknya, yang merupakan penduduk tetap di sini.

Wanita itu mula menunjukkan gejala pada Isnin, dan jangkitannya disahkan pada Selasa.

Satu lagi kes melibatkan pemegang pas tanggungan 47 tahun dari United Kingdom.

Beliau mula menunjukkan gejala pada 23 Oktober, dan kesnya disahkan pada Isnin.

Selebihnya empat kes import kini bekerja di Singapura. Dua daripada mereka ialah pemegang pas kerja dari Jepun dan Perancis, dan dua lagi merupakan pemegang permit kerja dari Indonesia.

Kesemuanya tidak menunjukkan gejala kecuali pemegang pas kerja berusia 48 tahun dari Jepun, yang mula mengalami gejala pada 22 Oktober dan kesnya disahkan pada Isnin.

3 TEMPAT MAKAN DIKUNJUNGI KES COVID-19

Tiga kedai makanan pada Selasa ditambah ke dalam senarai tempat awam yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit mereka.

Tempat-tempat tersebut adalah La Scala Ristorante di Arcade @ The Capitol Kempinski, The Coffee Academics di Pusat Beli-Belah Raffles City, dan Toast Box di Bugis Junction.

Butiran tempat-tempat baru itu adalah seperti berikut:

(Sumber: MOH)

2 KELOMPOK JANGKITAN TAMAT, 4 KES PULIH

MOH turut mengumumkan bahawa oleh kerana tiada lagi kes dikaitkan dengan kelompok jangkitan di CDPL Tuas Dormitory (6 Tuas South Street 15) dan Jurong Penjuru Dormitory 1 (58 Penjuru Place) untuk dua tempoh pengeraman yang lalu selama 28 hari, kelompok-kelompok jangkitan tersebut kini sudah tamat.

Empat lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhan, 57,883 telah pulih sepenuhnya dari jangkitan dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Terdapat 43 kes yang masih dirawat di hospital. Daripada jumlah itu, kebanyakannya stabil atau beransur pulih, dan tiada di antara mereka dirawat di unit jagaan rapi.

Seramai 26 kes diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat, iaitu mereka yang mengalami gejala ringan, atau sihat dari segi klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.

Setakat ini 28 orang di Singapura telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19.

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot dari empat kes pada minggu sebelumnya, kepada tiga pada minggu lalu, kata MOH.

Jumlah kes yang tidak ada kaitan dengan kes-kes sebelumnya dalam masyarakat meningkat dari dua kes pada minggu sebelumnya, kepada tiga pada minggu lalu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan